SPEKULASI kerajaan akan mengenakan sekatan penuh, seperti perintah kawalan pergerakan yang pertama lebih setahun lalu, semakin bertiup kencang selepas kes jangkitan baharu Covid-19 mencecah lebih 8,000 hari ini sementara kes aktif sudah melebihi 72,000.
Menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob menghangatkan spekulasi apabila membayangkan satu langkah tegas perlu diambil untuk mengawal keadaan.
“Saya ambil maklum bilangan kes yang meningkat mendadak hari ini.
“Langkah yang perlu diambil dalam situasi begini bukanlah jalan paling mudah, tapi jalan yang terbaik untuk keselamatan kita bersama.
“Saya dah bawa cadangan ini ke atas, doakan semoga ada sinar untuk semua,” tulisnya di Twitter dan Facebook petang tadi.

Ismail membuat kenyataan itu tidak lama selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menggesa Putrajaya mengambil tindakan sekatan penuh untuk mengawal pandemik.
“Saya mencadangkan lockdown penuh secara bersasar mengikut negeri ataupun rantau.
“Contohnya, zon selatan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ‘full lockdown’ selama dua minggu, diikuti zon lain seperti di pantai timur (Pahang, Terengganu, Kelantan).
“Negeri yang tidak lockdown boleh meneruskan kegiatan ekonomi di bawah peraturan PKP kawasan masing-masing.
“Dengan ini, kita menangani bilangan kes tanpa menutup kegiatan ekonomi negara secara keseluruhannya,” titah baginda.
Gesaan Sultan Johor itu adalah titah baginda yang kedua minggu ini, selepas menyeru rakyat supaya lebih berdisiplin untuk duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak.
Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan 8,290 kes baharu Covid-19, menjadikan kes aktif sekarang 72,823. Ia juga merekodkan 61 kematian, menjadikan keseluruhan korban Covid-19 di Malaysia sekarang 2,552 orang.
Pada masa sama, kementerian turut mengumumkan 808 kes aktif Covid-19 memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sementara 403 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.
Majlis Keselamatan Negara sebelum ini menetapkan PKP bermula 12 Mei hingga 7 Jun.
Ia bagaimanapun lebih longgar berbanding PKP yang dilaksanakan antara Mac dan Mei tahun lalu, yang menutup operasi perniagaan dan perkhidmatan yang disenaraikan sebagai tidak perlu.
Pihak berkuasa kesihatan sebelum ini memberi bayangan Malaysia akan mencecah 10,000 kes baharu sehari selepas pelanggaran sekatan dan peraturan pencegahan Covid-19 dalam tempoh dua minggu ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini beberapa kali berkata langkah PKP penuh yang ketat perlu untuk menangani penularan pandemik yang semakin memberi tekanan kepada sistem rawatan kesihatan negara. – 28 Mei, 2021.
Komen