Sultan Johor cadang sekatan penuh ikut zon


Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sekatan atau lockdown penuh bersasar dilaksanakan mengikut negeri-negeri yang bersempadan. – Gambar Facebook, 28 Mei, 2021.

SULTAN Johor mencadangkan kepada Putrajaya supaya melaksanakan perintah kawalan pergerakan penuh (PKP) secara bersasar mengikut zon, yang boleh mengawal penularan Covid-19 tetapi pada masa sama tidak pula menutup kegiatan ekonomi.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sekatan atau lockdown penuh bersasar itu boleh dilaksanakan mengikut negeri-negeri yang bersempadan.

“Saya mencadangkan lockdown penuh secara bersasar mengikut negeri ataupun rantau.

“Contohnya, zon selatan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ‘full lockdown’ selama dua minggu, diikuti zon lain seperti di pantai timur (Pahang, Terengganu, Kelantan). 

“Negeri yang tidak lockdown boleh meneruskan kegiatan ekonomi di bawah peraturan PKP kawasan masing-masing.

“Dengan ini, kita menangani bilangan kes tanpa menutup kegiatan ekonomi negara secara keseluruhannya,” titah baginda, seperti dipetik pejabat media diraja Johor.

Sultan Ibrahim membuat cadangan itu susulan bimbang melihatkan keadaan penularan Covid-19 yang semakin meningkat di seluruh negara.

“Saya mencadangkan perkara ini atas keprihatinan kepada nasib yang menimpa negara kita.

“Saya harap ia akan dipertimbangkan sebaiknya oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” titah baginda. 

Sultan Ibrahim melontarkan cadangan itu dua hari selepas menggesa rakyat Malaysia supaya bersungguh-sungguh melaksanakan sendiri sekatan pergerakan.

Baginda membuat gesaan itu ketika kes Covid-19 buat pertama kali melepasi paras 7,000 sehari.

Pada Rabu lalu, Kementerian Kesihatan mengesan 7,478 kes jangkitan baharu, menjadikannya lonjakan kes harian tertinggi sejak wabak mula dikesan di Malaysia pada Januari 2020.

Malaysia sebelum itu mencatatkan lebih 6,000 kes baru setiap hari untuk tempoh lapan hari berturut-turut.

Hari ini, Malaysia merekodkan satu lagi rekod harian tertinggi, melepasi paras 8,000 kes dengan 8,290 kes dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu setakat tengah hari tadi.

Selangor masih lagi mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,052 kes baharu sementara lebih daripada 10 peratus kes baru masing-masing dikesan di Kuala Lumpur (830) dan Kelantan (851). – 28 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen