Abdul Hadi Awang jangan jadi Donald Trump


Noor Azam Shairi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilihat hanya serkap jarang apabila berkata media menyalahgunakan kebebasan di tengah pandemik yang menggila.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2021.

PRESIDEN PAS ABDUL Hadi Awang buat silap besar apabila meminta masyarakat, dan media khasnya, supaya tunduk serta patuh menerima begitu saja apa yang berlaku sekarang ketika pandemik Covid-19 semakin menggila.

Pemikiran yang menyekat seperti ini sangat bahaya, apatah lagi ketika sedikit demi sedikit ruang yang ada untuk bertanya kini semakin sempit.

Abdul Hadi tidak usah bersusah payah cuba jadi Donald Trump, yang sepanjang empat tahun sebagai presiden Amerika Syarikat kerjanya tidak habis-habis berperang dengan media. Semua kebenaran yang ditunjukkan oleh media dihukum pukul rata sebagai berita palsu, sebaliknya beliau pula yang tidak henti-henti menyebarkan pembohongan.

Presiden PAS berkata sekarang “bukan masanya untuk kita berdebat mencari kesalahan dan kelemahan” kerana wabak ini masalah bersama. Semua pihak mesti bersatu padu melawan ancaman wabak ini kerana ia tidak mengenal mangsa, katanya.

Hadi silap kerana debat yang berlaku tentang perang melawan Covid-19, termasuk yang diketengahkan oleh media, bukan semata-mata untuk mencari salah. 

Media tidak bekerja begitu, tuan guru.

Media tidak beroperasi seperti yang dibayangkan oleh Hadi – seolah-olah setiap hari kerjanya menyusun perancangan rapi untuk mencari kesalahan, membongkar kelemahan atau memperkecilkan, dalam konteks kenyataan presiden PAS itu, kerajaan.

Apatah lagi sesetengah kesilapan itu memang datang daripada kerajaan, yang bukan sekali dua tertembak kaki sendiri sepanjang menangani pandemik sejak lebih setahun lalu.

Hadi patut tahu debat yang sedang diangkat oleh media adalah ganti kepada Parlimen yang ditutup kerana darurat yang diisytihar kononnya untuk melawan pandemik. Ketika Parlimen ditutup, ke mana lagi rakyat boleh bertanya untuk mempertanggungjawabkan kerajaan?

Media menjalankan tugas semak dan imbang, yang tidak dapat dijalankan dengan sewajarnya oleh Parlimen sekarang. Media menjadi saluran untuk rakyat bertanya yang hak, dan selebihnya menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban daripada kerajaan.

Apakah itu salah? Apa yang salah?

Hadi jangan tersalah tanggap antara tugas media dan jentera penerangan kerajaan. Tidak sama. Ada banyak beza. Sebagai seorang veteran dalam politik dan pernah pula menerajui pentadbiran negeri, Hadi tentu tahu. Mustahil tidak tahu atau tidak faham.

Yang media lakukan setiap hari ialah menggali kebenaran, yang akhirnya membawa kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya. Kesetiaan media bukan pada kerajaan, atau pemodal, tetapi kepada rakyat. Yang diutamakan ialah kebenaran untuk kepentingan umum, walaupun kebenaran itu barangkali pahit untuk Hadi dan kawan-kawannya dalam kerajaan.

Itulah tanggungjawab media dan setiap hari, dalam keadaan yang semakin payah dan terbatas, berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawabnya. 

Apakah tanggungjawab media?

Yang pertama dan utama, tanggungjawab kepada kebenaran. Bukan kebenaran ikut suka hati pengamal media – kerana setiap orang tentu ada bias sendiri berdasarkan latar belakang pendidikan, sosial, kaum atau agama. Kebenaran yang dibongkar oleh media ialah kebenaran yang fungsional, yang wajar pada tempatnya.

Kebenaran yang dicari oleh media bukan kebenaran yang mutlak tetapi kebenaran yang akan membantu masyarakat membuat keputusan seharian kerana mereka ada maklumat yang betul. Sekecil-kecil keputusan misalnya untuk beli apa hari ini sampailah kepada keputusan besar seperti menentukan kerajaan lima tahun sekali.

Kebenaran yang dicari oleh media bukanlah kerja yang boleh siap sehari. Kebenaran itu dibina berhari-hari, dan berlapis-lapis. Ambil saja contoh rungutan orang ramai tentang kegagalan sistem laman web pendaftaran untuk vaksin Covid-19 menampung permintaan yang tinggi semalam.

Ya, sistem itu berjaya mendaftarkan hampir sejuta orang untuk divaksin tetapi proses tidak harus jadi susah dan menyusahkan seperti semalam.

Apakah Hadi mahu media diam dan melupakan begitu saja apa yang berlaku semalam, ketika kos untuk sistem itu dilaporkan diberi peruntukan RM70 juta?

Setiap seorang rakyat ada sumbangan masing-masing dalam RM70 juta itu dan mereka berhak tahu kenapa sistemnya dibangunkan dengan begitu banyak kelemahan, seperti yang sangat jelas ternampak semalam.

Sejak semalam kita mula tahu kenapa sistem itu bermasalah. Kebenarannya akan lebih banyak terbongkar lagi lapis demi lapis selama beberapa hari, minggu atau bulan yang akan datang.

Hadi sesungguhnya serkap jarang apabila berkata media menyalahgunakan kebebasan di tengah pandemik yang menggila.

Kebebasan apa yang Hadi maksudkan ketika kebanyakan penjelasan, keterangan dan pertanggungjawaban kerajaan hanyalah sehala melalui kenyataan media. Tiada soal jawab.

Kalau ada pun, seperti yang dilihat di televisyen setiap hari, ruang untuk soal jawab sangat terbatas. Kebanyakan sidang media hanya untuk media terpilih, dengan tanggapan media pilihan ini mesra dengan kerajaan. Wawancara yang terbuka jauh sekali.

Sama ada pentadbiran ini memang mahu menyorok di sebalik pandemik atau salah percaturan strategi komunikasi, kenyataan Hadi semalam hanya memburukkan lagi sangkaan umum kepada kerajaan.

Hadi – dan kerajaan – tidak boleh selama-lamanya berfikiran bahawa setiap teguran, kritikan dan pendedahan bertujuan untuk membawa kerosakan. Media faham tanggungjawab mereka. Kerajaan juga mesti faham tanggungjawab media.

Tiada sesiapa yang mahu wabak ini berpanjangan. Tiada sesiapa yang mahu menyekat kerajaan daripada menjalankan tugasnya menangani musibah ini – cuma yang dituntut ialah menjalankan tugas dengan bertanggungjawab sesuai dengan aturan dan tidak melanggar batas.

Namun, kerajaan ini tidak harus campur tangan dalam soal kebebasan media. Kebebasan media sudah cukup untuk ditangani dengan undang-undang sedia ada, jika perlu.

Malah apa yang lebih perlu sekarang ialah untuk kerajaan ini menyegerakan penubuhan Majlis Media Malaysia supaya media boleh mengurus dan mengawal selia soal etika dan kebebasannya sendiri.– 27 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen