Pasukan petugas mohon maaf kesulitan daftar slot suntikan AstraZeneca


Sebanyak 956,609 tempahan bagi penduduk berusia 18 tahun ke atas dipenuhi ketika pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela, hari ini dalam tempoh kurang sejam. – Gambar Facebook, 26 Mei, 2021.

BADAN Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) memohon maaf atas atas kesulitan yang berlaku di laman webnya hari ini yang menyebabkan ribuan kecewa kerana gagal membuat tempahan slot mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca.

CITF dalam kenyataannya petang tadi berkata mereka mengucapkan terima kasih atas sambutan baik orang ramai yang menjalankan tanggungjawab bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok seperti disasarkan.

Pada masa sama mereka juga memohon maaf atas masalah teknikal yang dihadapi orang ramai.

“Kami memandang serius masalah teknikal yang berlaku dan tindakan akan diambil terhadap pihak berkenaan.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan dihadapi dan sentiasa terbuka untuk sebarang maklum balas serta teguran daripada semua pihak,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebanyak 956,609 tempahan bagi penduduk berusia 18 tahun ke atas dipenuhi ketika pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela, hari ini dalam tempoh kurang sejam.

Sebanyak 1,261,000 dos ditawarkan, iaitu 275,208 dos ditempah warga emas ketika inisiatif ini dibuka mulai 23 Mei hingga hari ini.

Sementara itu, katanya seramai 29,183 individu dalam senarai menunggu vaksin Astrazeneca sebelum ini dimasukkan ke dalam senarai giliran kali ini.

Pendaftaran bagi pusingan kedua tempahan slot secara sukarela mendapatkan vaksin itu dibuka 12.15 tengah hari tadi dan dalam tempoh sejam, hampir sejuta slot di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor penuh.

CITF memberi jaminan sesiapa yang sudah berdaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mendapat slot apabila kadar vaksinasi meningkat dalam beberapa bulan lagi. – 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen