Tajuddin sahkan polis panggil untuk disoal siasat


Raevathi Supramaniam

Tajuddin telah memutuskan untuk memakai pelindung muka dan bukannya pelitup muka ketika sidang media nahas tren transit aliran ringan (LRT) yang berlaku pada Isnin malam di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2021.

PENGERUSI Prasarana Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan polis telah memanggilnya untuk disoal siasat kerana tidak memakai pelitup muka pada sidang media semalam.

Tajuddin telah memutuskan untuk memakai pelindung muka dan bukannya pelitup muka ketika sidang media nahas tren transit aliran ringan (LRT) yang berlaku pada Isnin malam di Kuala Lumpur.

“Saya minta maaf jika pelindung muka tidak cukup. Pelindung muka ini bukan biasa-biasa, ditempah khas daripada sumber yang diyakini,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu melawat lokasi nahas LRT di KLCC pagi semalam. Pada Isnin, lebih daripada 200 orang cedera apabila dua tren bertembung di laluan LRT Kelana Jaya.

Katanya, semasa melawat tempat kejadian, beliau memakai pelitup muka tetapi memutuskan untuk tidak memakainya semasa sidang media kerana lebih senang untuk bercakap.

“Tapi bagaimana nak bercakap pada sidang media dengan memakai pelitup muka? Jadi saya ingat pelindung muka (lutsinar) lebih baik,” katanya.

Pada 1 Ogos tahun lalu, Majlis Keselamatan Nasional mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Ketua Polis Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah hari ini berkata bahawa Tajuddin sedang disiasat kerana melanggar prosedur operasi standard Covid-19.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) 2021.

Zainal berkata, peserta lain di majlis itu juga akan dipanggil untuk disoal siasat. – 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen