Tajuddin disiasat kes tak pakai pelitup muka


Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman disiasat kerana didapati tidak mengenakan pelitup muka semasa mengadakan sidang media semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Mei, 2021.

POLIS mengesahkan Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman disiasat kerana didapati tidak mengenakan pelitup muka semasa mengadakan sidang media semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Haji Abdullah berkata perbuatan itu dikesan berlaku dalam sidang media semalam selepas Tajuddin melawat lokasi kemalangan tren Rapid KL.

“Kesemua yang terlibat dalam kes ini akan dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau secara khusus menyebut, siasatan berkaitan video yang tular menunjukkan sidang media dijalankan Tajuddin di Stesen LRT KLCC.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu mengadakan sidang media selepas selesai membuat tinjauan ke tempat kemalangan tren tersebut semalam.

Dalam beberapa video yang tular, Tajuddin antara lain dilihat hanya memakai sejenis perisau muka lutsinar tanpa pelitup muka sewaktu bercakap dalam sidang media.

Dalam satu lagi video, beliau juga ditunjukkan menurunkan pelitup muka ke bawah dagu semasa bercakap dengan pemberita.

Mohamad Zainal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Majlis Keselamatan Negara mewajibkan pelitup muka sentiasa dipakai di tempat awam mengikut akta berkenaan.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu menegaskan, semua individu perlu memakai pelitup muka walaupun memakai perisau muka ataupun niqab. – 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen