Bersatu Johor sukar ulangi kemenangan PRU14, kata pemimpin bahagian


Mohd Farhan Darwis

Pemimpin peringkat bahagian berkata Bersatu di Johor bukan saja bermasalah di Simpang Renggam tetapi beberapa bahagian lain pun ada masalahnya sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2021.

BERSATU tidak akan mampu mengekalkan kejayaannya di Johor seperti ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu berikutan masalah dalaman dan pentadbiran parti, kata pemimpin bahagiannya.

Mereka berkata Bersatu di Johor bukan saja bermasalah di Simpang Renggam tetapi beberapa bahagian lain pun ada masalahnya sendiri.

Mereka merujuk tindakan beberapa pemimpin parti di Simpang Renggam yang meletak jawatan beramai-ramai baru-baru ini sehingga menyebabkan bahagian itu dikatakan berdepan kemungkinan bubar.

Bersatu di Johor bermasalah kerana kelemahan pucuk pimpinan parti negeri walaupun pengerusinya ialah Muhyiddin Yassin, yang juga presiden parti, kata seorang pemimpin bahagian.

“Bukan Simpang Renggam saja yang bermasalah, bahagian lain pun ada juga masalah… Sembrong, Pulai.

“(Antara isunya) pelantikan ahli jawatankuasa bahagian yang dibuat sembarangan, ahli jawatankuasa entah mana-mana dilantik, kita tak tahu siapa,” katanya kepada The Malaysian Insight, dengan syarat identitinya tidak didedahkan.

Sumber berkata Muhyiddin terlalu sibuk dengan pentadbiran kerajaan di Putrajaya sehingga Bersatu terabai di Johor.

“Dia (Muhyiddin) sibuk sangat, mana ada masa (urus Bersatu Johor), dia serahkan kepada anak buah dia di sini (di Johor).

“Mereka yang berjawatan di atas ini pula tak reti buat kerja, semua nak main politik,” katanya.

Rumah tidak berdinding

Beliau menambah bahagian Bersatu seakan hilang arah sementara pemimpin akar umbi berbuat sesuka hati mereka kerana tiada panduan daripada pimpinan atasan.

“Sekarang ini bahagian macam rumah ada bumbung, ada tiang tapi tidak ada dinding… faham sendirilah macam mana itu,” katanya.

Sekumpulan ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Simpang Renggam meletak jawatan baru-baru ini selepas tidak puas hati dengan pemangku ketua bahagian yang dilantik oleh Muhyiddin menggantikan Maszlee Malik.

Ketua bahagian yang baharu dilantik selepas Maszlee lucut keahlian parti kerana tidak menyokong kepimpinan Muhyiddin susulan percaturan politik Langkah Sheraton sebaliknya bersama ahli Parlimen yang menyokong Dr Mahathir Mohamad.

Pimpinan Bersatu Simpang Renggam menolak pelantikan itu sejak ia diumumkan oleh Muhyiddin hampir setahun lalu.

Pada masa sama, peletakan jawatan pengerusi Srikandi Muda Johor Nur Najihah Abdul Halim juga menimbulkan spekulasi Bersatu di Johor bergolak. Srikandi Muda ialah sayap wanita muda Bersatu, sama seperti Puteri Umno.

Sumber berkata Muhyiddin Yassin terlalu sibuk dengan pentadbiran kerajaan di Putrajaya sehingga Bersatu terabai di Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2021.

Lemah

Seorang ketua bahagian Bersatu yang juga enggan identitinya didedahkan turut memberitahu Bersatu sebenarnya lemah di Johor.

Parti itu tiada akar umbi dan jentera yang kuat untuk menjadi tulang belakang Perikatan Nasional (PN) di negeri itu dalam PRU15, katanya.

“Sekarang ini Umno lemah, PH (Pakatan Harapan) juga entah ke mana, kita yang parti kerajaan ini pula ikut huru-hara.

“Sepatutnya kita kena kukuhkan parti, kita ini parti kerajaan yang memerintah, tapi sebaliknya pula yang berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau percaya sekiranya masalah itu tidak ditangani segera Bersatu sukar untuk fokus ketika menjelang PRU15 nanti.

“Bersatu ini saya lihat macam dah nak melingkup dah,” katanya.

Ketua bahagian Bersatu itu juga tidak yakin PAS Johor mampu menunjangi PN kerana parti Islam itu tidak kuat bukan saja di negeri itu malah di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.

“PAS sejarahnya menang di Johor atas isu teknikal… orang Bersatu saja yang akan undi PN… Cina dan India sudah tentu undi PH.

“PAS nak tolong pun tak boleh di Johor… Pantai Timur mungkin bolehlah,” katanya.

Jawatankuasa pilihan raya

Ketua Pemuda Bersatu Bahagian Sri Gading Muhammad Zulfadhly Zulkifly berkata Bersatu ada jalan untuk menangani pelbagai isu yang mungkin timbul di beberapa bahagian yang bermasalah menjelang PRU15 nanti.

Katanya, pada masa ini Bersatu sudah membentuk jawatankuasa khusus di peringkat bahagian untuk mengendalikan hal ehwal berkaitan pilihan raya dan mengelak masalah gerak kerja jentera parti nanti.

“Kalau bahagian itu tidak bermasalah jawatankuasa itu bekerjasama dengan ketua bahagian.

“Tapi kalau bahagian itu bermasalah dengan ketua bahagian, jawatankuasa itu akan ambil alih peranan untuk gerak kerja jentera pilihan raya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bersatu menang lapan daripada 18 kerusi negeri yang ditandingi pada PRU14 lalu.

Tiga Adun Umno kemudian keluar parti untuk menyertai Bersatu sejurus parti mereka tewas dalam PRU14, menjadikan Bersatu mempunyai 11 kerusi daripada 56 kerusi di DUN Johor.

Johor kubu utama yang dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14, yang dimenangi hasil kempen untuk menembusi dan menguasai kawasan serta undi Melayu.

PH membentuk kerajaan di Johor sejak Mei 2018 dengan gabungan 39 kerusi yang dibentuk bersama DAP (14), PKR (5), Amanah (9), dan Bersatu (11).

Barisan Nasional mempunyai 16 kerusi yang dimiliki oleh oleh Umno (14) dan MCA (2).

PAS mempunyai satu kerusi iaitu DUN Bukit Pasir yang terletak di bawah kawasan Parlimen Pagoh, yang diwakili oleh Muhyiddin.

Johor satu daripada tiga negeri, selain Perak dan Melaka, yang diambil alih terajunya oleh Umno selepas percaturan politik Langkah Sheraton. – 27 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen