Bersatu Simpang Renggam tidak bubar, kata pemangku ketua bahagian


Mohd Farhan Darwis

Pemangku ketua Bersatu Simpang Renggam Azman Omar berkata pihaknya hanya perlu melantik empat anggota jawatankuasa untuk membolehkan bahagian itu berjalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2021.

BERSATU Simpang Renggam masih wujud dan belum terbubar walaupun majoriti anggota kepimpinan bahagian itu dikatakan sudah letak jawatan, kata pemangku ketuanya Azman Omar.

Azman berkata, pihaknya hanya perlu melantik empat anggota jawatankuasa untuk membolehkan bahagian itu berjalan.

“Yang keluar 9 daripada 15 anggota jawatankuasa sedia ada, ada empat lagi ahli jawatankuasa saya nak lantik. 

“Saya ada kuota lantik mereka untuk teruskan perjuangan Bersatu Simpang Renggam.

“Bersatu Simpang Renggam tak bubar,” kata Azman kepada The Malaysian Insight.

Azman menegaskan pihaknya akan menyelesaikan urusan pelantikan berkenaan dalam masa terdekat. 

“Sekarang dalam dua tiga hari lagi akan saya selesaikan. Ketua cawangan yang dilantik akan dimasukkan ke dalam bahagian.

“Kita nak tunjukkan Simpang Renggam tidak ada masalah,” katanya.

Naib ketua Bersatu Simpang Renggam Mohd Sidik Ariffin kelmarin mengumumkan peletakan jawatannya bersama beberapa pemimpin bahagian termasuk ketua pemuda A Azri Hassan dan ketua wanita Faridah Jemali.

Bubar

Sidek melalui laman media sosialnya mendakwa Bersatu Simpang Renggam sudah pun terbubar apabila majoriti ahli jawatankuasa letak jawatan pada 3 Mei lalu.

“Keputusan meletakkan jawatan adalah kerana kami ahli jawatankuasa Bahagian Bersatu Simpang Renggam sudah hilang kepercayaan terhadap pemangku ketua Bahagian.

“Bukan saya seorang yang meletak jawatan, tapi boleh dikatakan lebih dua pertiga ahli jawatankuasa Bahagian yang berbuat demikian. 

“Kalau mengikut undang-undang tubuh, maka dengan serta-merta juga bahagian Bersatu P151 Simpang Renggam telahpun terbubar,” kata Sidik.

Naib Ketua Bersatu Simpang Renggam Mohd Sidik Ariffin kelmarin mendakwa Bersatu Simpang Renggam sudah pun terbubar apabila majoriti ahli jawatankuasa letak jawatan pada 3 Mei lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2021.

Sidik bagaimanapun berkata kuasa untuk membubarkan bahagian terletak pada pucuk pimpinan parti itu, dan kepimpinan Bersatu Johor sedia maklum isu di Simpang Renggam.

“InsyaAllah kepimpinan negeri akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada untuk membubarkan (bahagian Simpang Renggam) ataupun tidak. 

“Sekiranya kepimpinan negeri membuat keputusan tidak membubarkan, maka kepimpinan negeri sepertinya tidak menerima dan mengikut Perlembagaan undang-undang tubuh parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sidik juga berkata, surat perletakan jawatan berkenaan turut dihantar kepada pimpinan negeri pada 3 Mei lalu.

Setiausaha Bersatu Johor, Dr Sahruddin Jamal turut mengesahkan kepada Sinar Harian pihaknya ada menerima surat berkenaan.

Tidak puas hati

Sementara itu menurut Azman, kumpulan ini letak jawatan kerana tidak puas hati dengan pelantikannya menggantikan tempat bekas menteri pendidikan Maszlee Malik.

“Sebenarnya dalam firasat saya ada yang tak berpuas hati saya sebagai pemangku ketua bahagian dan jawatan itu mungkin ada yang nak … biasalah politik.

“Saya berpegang macam inilah, orang bagi kita jawatan bukan setakat jawatan sahaja tapi sebenarnya tanggungjawab. Saya cuba yang terbaik untuk uruskan satu organisasi di sini.

“Organisasi politik berbeza banding organisasi lain, sebab kena ada mesyuarat agung dan sebagainya, bagi saya, saya merujuk badan pimpinan Bersatu negeri,” kata Azman.

Azman dilantik selepas Maszlee digugur keahlian bersama pengerusi Dr Mahathir Mohamad dan tiga lagi yang lain setelah mereka tidak menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Pelantikannya dibuat oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga ketua Bersatu Johor. 

Azman berpendapat mereka yang keluar dari Bersatu itu sebenarnya mahu mengikut Maszlee.

“Kita sedia maklum, Simpang Renggam dulu diketuai Maszlee, mereka kalau keluar nak ikut Maszlee,” katanya. – 6 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen