Penderma vaksin dakwa ada wang di HK, tetapi tak ada bukti derma, kata Khairy


Raevathi Supramaniam

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata lelaki yang menawarkan untuk menyumbang dua juta dos vaksin Sinovac kepada Pulau Pinang tidak dapat menunjukkan bukti sumbangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2021.

LELAKI yang menawarkan untuk menyumbang dua juta dos vaksin Sinovac kepada Pulau Pinang tidak dapat menunjukkan bukti sumbangan tetapi berkata bahawa dia mempunyai wang di akaun Hong Kong, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

“Pegawai saya menghubungi seseorang yang mengaku sebagai Yong Chee Kong. Dia bertanya adakah individu itu mempunyai bukti sumbangan tersebut supaya kami dapat memudahkan urusan (contohnya; pesanan Sinovac). Dia berkata tidak.

“Dia berkata dia mempunyai wang di sebuah akaun di Hong Kong,” kata Khairy menerusi Twitter. 

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata pegawainya kemudian memintanya untuk membuat sumbangan rasmi, tetapi Yong menolak.

“Dia kemudian memberitahunya bahawa dia dapat menunjukkan bukti sumbangan itu atau membuat sumbangan rasmi kepada kerajaan Malaysia, yang akan kami sampaikan kepada kerajaan Pulau Pinang. BUKAN untuk dia membayar kepada mana-mana syarikat. Yang mana dia menolaknya.

“Seperti yang saya katakan semalam, saya dengan senang hati dapat memudahkan pemberian sumbangan itu jika Yong dapat membuktikan dia dapat memperoleh vaksin atau memberikan sumbangan rasmi kepada kerajaan,” katanya.

Semalam Khairy berkata bahawa beliau sudah menyiasat tawaran oleh Yong dan mendapati bahawa ia adalah satu penipuan dan tawaran palsu.

Berdasarkan pemeriksaan dengan Sinovac, beliau berkata tidak ada pesanan yang dibuat oleh syarikat atau individu yang terlibat.

Awal hari ini Yong yang mendakwa berasal dari Sabah menolak tuduhan Khairy dan berkata bahawa tawarannya untuk menderma vaksin itu tulen dan bukan palsu.

Xintai Enterprise Development Limited, sebuah syarikat berpusat di Hong Kong telah menawarkan untuk menyumbangkan dua juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang.

Yong, yang memperkenalkan dirinya sebagai pengarah urusan syarikat itu, memberitahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam surat bertarikh 1 Februari, bahawa beliau akan membayar deposit sebanyak AS$2 juta (RM8.3 juta) untuk dua juta dos tersebut.

Beliau mengaku sebagai warganegara yang beralamat di Kota Kinabalu, Sabah selain berkata telah menghubungi ketua penjualan antarabangsa Sinovac, Coco Chang untuk pembelian tersebut.

“Saya pertama kali menulis surat kepada kerajaan Sabah awal tahun ini tetapi mereka menolaknya dan memberitahu saya, Sinovac masih belum dipersetujui (pada masa itu) oleh kerajaan.

“Saya kemudian tawarkan kepada kerajaan negeri pembangkang adakah mereka berminat. Dan mereka berminat, dan surat itu pun ditulis,” katanya. – 20 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen