Amanah bertegas mahu 14 kerusi DUN di Johor


Ikhwan Zulkaflee

Pakatan Harapan semasa konvensyennya pada Ahad lepas memutuskan hanya memperuntukkan dua kerusi Parlimen di Johor untuk ditandingi parti Amanah dan ia sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2018.

AMANAH Johor menegaskan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu untuk dilihat setaraf dengan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, Johor mempunyai 56 kerusi DUN dan setiap komponen boleh mendapat agihan yang sama jika pembahagian dibuat dengan adil. 

“Kerusi DUN ada 56 dalam Johor. Bahagi dengan empat komponen, jadi 14 kerusi setiap parti. Maknanya kita (Amanah) tak boleh kurang 14 kerusi. 

“Sebab kita sudah dapat kurang kawasan Parlimen untuk ditandingi. Takkan kita hendak kurang di kawasan DUN juga?” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Tegasnya, peluang itu penting bagi PH agar dilihat berlaku adil dengan setiap parti komponennya dan untuk meyakinkan pengundi. 

“Maknanya biar kita (PH) dilihat adil di kalangan rakan komponen supaya rakyat dapat lihat kita satu gabungan yang boleh diberi kepercayaan. 

“Kalau di antara rakan-rakan pun tak berlaku adil, masing-masing menjaga kepentingan sendiri, macam mana nak dilihat menjaga rakyat. 

“Kalau kita tak boleh bertolak ansur ia akan beri gambaran negatif,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dalam kenyataannya berkata, beliau percaya parti tersebut akan dapat peluang lebih besar untuk pertandingan kerusi DUN.

Ini memandangkan parti tersebut mendapat agihan kerusi Parlimen paling sedikit, katanya lagi yang turut menasihatkan agar perkara itu dibincang di peringkat PH.

“Saya percaya rundingan kerusi PH di peringkat DUN sama ada yang telah dan sedang berlangsung dapat membantu menyelesaikan rasa tidak puas hati berhubung jumlah kerusi di peringkat Parlimen bagi semua parti dalam PH,” katanya.

Malah, pemimpin Amanah negeri yang tidak dapat bertanding di mana-mana kerusi Parlimen juga akan mendapat peluang lain, katanya.

“Bagi yang tiada kerusi DUN seperti Wilayah Persekutuan, maka ketidakpuasan hati ini akan ditangani dengan cara lain,” kata Salahuddin.

PH dalam konvensyennya pada Ahad lepas memutuskan untuk memperuntukkan hanya dua kerusi Parlimen di Johor untuk ditandingi parti Amanah.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub percaya rundingan kerusi di peringkat DUN dapat membantu menyelesaikan rasa tidak puas hati berhubung jumlah kerusi di peringkat Parlimen bagi semua parti dalam Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2018.

Bersatu akan bertanding paling banyak – di 10 kerusi manakala PKR dan DAP masing-masing lapan dan enam kerusi Parlimen.

Dua kerusi tersebut, Pulai dan Parit Sulong merupakan antara 27 kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti Amanah di semenanjung.

Perkara tersebut dimasukkan dalam Muafakat PH yang turut memutuskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia diikuti PKR (51) dan DAP (35).

Amanah Johor menuntut lima kerusi Parlimen dalam Johor namun kecewa apabila hanya akan bertanding di dua kerusi. 

The Malaysian Insight difahamkan, ia disebabkan parti Amanah kekurangan pemimpin tempatan yang boleh diangkat ke peringkat nasional. 

Pimpinan Amanah Johor memboikot konvensyen PH di Shah Alam pada Ahad lalu setelah mengetahui kerusi Parlimen yang akan ditandinginya hanyalah Pulai dan Parit Sulong. 

Tiga lagi kawasan yang dituntutnya adalah Ayer Hitam, Kota Tinggi dan Simpang Renggam. 

Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Dr Hatta Ramli juga dilaporkan meletak jawatan kerana kerusi Parlimen tunggal di situ tidak akan ditandingi calon parti tersebut. – 9 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen