Malaysia akan buka pendaftaran terima vaksin AstraZeneca, kata Khairy


Malaysia akan membuka pendaftaran secara sukarela untuk suntikan vaksin AstraZeneca apabila sejuta lagi dos vaksin itu akan diterima bulan ini. – Gambar EPA, 15 Mei, 2021.

MALAYSIA akan membuka pendaftaran secara sukarela untuk suntikan vaksin AstraZeneca apabila sejuta dos vaksin itu diterima bulan ini, kata Khairy Jamaluddin seperti dilaporkan The Star.

Menteri Penyelarasan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu berkata pengumuman lanjut akan dibuat pada minggu depan.

“Kita akan membuka pendaftaran secara sukarela kepada mereka yang tinggal di Lembah Klang dan negeri lain,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Rakyat tidak perlu bimbang kerana kita akan membuat pengumuman minggu depan,” tambahnya.

Khairy turut menasihatkan mereka yang mempunyai temu janji bagi mendapatkan vaksin agar tiba 15 hingga 30 minit lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di PPV.

Beliau juga menasihatkan mereka yang tidak mempunyai temu janji agar tidak datang ke pusat itu bagi mencuba nasib kerana ia akan menyebabkan kesesakan.

“Ramai yang cuba nasib untuk mendapatkan vaksin tetapi ini hanya menyebabkan kesesakan dan berisiko,” katanya.

Khairy sebelum ini berkata mereka yang tidak mempunyai temu janji dilarang untuk datang ke mana-mana pusat pemberian vaksin.

Awal bulan ini, pendaftaran untuk vaksinasi AstraZeneca secara sukarela mendapat sambutan hangat apabila penuh ditempah hanya selepas dibuka kira-kira tiga jam. – 15 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen