PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin meminta rakyat meningkatkan disiplin untuk membendung pencegahan Covid-19, termasuk duduk di rumah kalau tidak ada keperluan untuk keluar.
Kata perdana menteri, duduk di rumah adalah langkah terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Hadapilah gelombang ketiga ini dengan penuh disiplin. Hanya diri kita yang boleh jaga nyawa kita sendiri selain ketentuan Ilahi.
“Duduklah di rumah jika tiada perkara penting yang perlu diurus.
“Wabak ini menjadi lemah dan tewas jika kita mengamalkan disiplin kendiri yang tinggi,” katanya dalam kenyataan petang ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara bermula Rabu.
Muhyiddin juga mengingatkan rakyat displin kendiri yang diharapkan daripada mereka bukanlah sukar untuk dilaksanakan.
“Elakkan tempat yang sesak, jaga penjarakan fizikal, sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam dan bersihkan tangan anda pada setiap masa di samping mengamalkan kebersihan kendiri yang baik,” katanya.
PKP bagi mencegah penularan Covid-19, yang ketiga di seluruh negara sejak pandemik dikesan di Malaysia pada hujung Januari 2020, akan berkuat kuasa sehingga 6 Jun.
Kerajaan sebelum ini sudah dua kali melaksanakan PKP iaitu pada pertengahan Mac hingga awal Mei 2020 dan kemudian pada Januari lalu secara berperingkat mengikut negeri-negeri.
Ini adalah kali pertama Muhyiddin membuat pengumuman mengenai PKP melalui kenyataan media dan bukan dengan perutusan di televisyen seperti lazimnya sejak lebih setahun lalu.
Dalam kenyataannya Muhyiddin menarik perhatian bagaimana lengkuk jangkitan Covid-19 dapat diturunkan semasa gelombang pertama dan kedua penularannya, selepas pelaksanaan PKP.
“Saya ingin mengingatkan gelombang ketiga yang sedang kita hadapi ini lebih ganas dan kritikal. Kita masih belum menang,” katanya, sambil turut mengumumkan pelbagai larangan sepanjang pelaksanaan PKP.
Jelas Muhyiddin, SOP terperinci semua larangan dan arahan untuk PKP ini akan diumum oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu, kerajaan katanya akan terus menggunakan sistem pengesanan awal titik panas jangkitan Covid-19 atau HIDE untuk memantau kawasan terjejas serta mengambil tindakan susulan yang diputuskan.
Keputusan mengenakan PKP di seluruh negara dicapai awal hari ini dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Muhyiddin. – 10 Mei, 2021.
Komen