PKP di seluruh negara 12 Mei hingga 7 Jun, umum PM


Perintah Kawalan Pergerkaan dikuatkuasakan di seluruh negara bermula Rabu ini sehingga 7 Jun.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara bermula Rabu ini sehingga 7 Jun, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dengan larangan rentas negeri dan daerah berkuat kuasa serta merta hari ini.

Larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan juga berkuat kuasa serta merta hari ini, kata Muhyiddin.

“Tarikh kuat kuasa bagi larangan-larangan dan arahan-arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

“Sepanjang tempoh ini, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Keputusan mengenakan PKP di seluruh negara dicapai awal hari ini dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.

Menurut Muhyiddin, keputusan itu dibuat selepas kes jangkitan Covid-19 harian pada minggu ini melebihi 4,000 kes, dengan keseluruhan kes aktif sebanyak 37,396 dan 1,700 kematian.

“Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional,” katanya.

Keputusan mengenakan PKP di seluruh adalah langkah lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak, tambahnya.

Muhyiddin menyebut tiga faktor yang menjadi asas keputusan iaitu adanya varian baharu Covid-19 yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan ke atas kemampuan sistem kesihatan awam yang semakin meruncing, serta kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat.

“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan Covid-19.

“Rantaian jangkitan Covid-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat,” kata perdana menteri.

Ini adalah PKP kali yang ketiga dikenakan sejak Covid-19 dikesan di Malaysia sejak hujung Januari 2020.

PKP pertama dikuatkuasakan pada pertengahan Mac hingga awal Mei 2020 manakala PKP kedua diperintahkan pada Januari lalu secara berperingkat mengikut negeri-negeri.

Larangan yang dikuatkuasakan di bawah PKP ketiga ini adalah seperti berikut:

1. Tiada rentas daerah dan rentas negeri kecuali atas alasan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan bagi pasangan jarak jauh;

2. Tiada sebarang bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri, majlis perkahwinan, doa selamat dan tahlil, majlis makan malam dan sambutan hari jadi, serta majlis rasmi kerajaan dan swasta. Seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka juga dilarang.

3. Semua kegiatan sukan dan rekreasi dilarang kecuali secara individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan penjarakan fizikal;

4. Semua institusi pendidikan ditutup kecuali pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa. Pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan;

5. Kenderaan persendirian, teksi dan kereta khidmat tumpangan (e-hailing) dihadkan untuk tiga orang sahaja termasuk pemandu;

6. Bilangan orang yang dibenarkan dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi dan industri bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

7. Bilangan orang yang dibenarkan untuk pengangkutan awam tertakluk pada pematuhan penjarakan fizikal dan SOP yang telah ditetapkan;

8. Makan di tempat di restoran dan kedai makan dilarang tetapi penjualan makanan secara pandu lalu dan bawa pulang dibenarkan;

9. Majikan diwajib melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30% kakitangan pengurusan pada setiap masa.

BDR sektor awam ditentukan oleh garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dari masa ke masa.

PKP ketiga ini juga menghadkan kehadiran jemaah ke masjid dan surau untuk solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri, yang bakal disambut oleh umat Islam pada minggu ini.

Operasi rumah ibadat bukan Islam juga akan diperketatkan dengan SOP berkenaan ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan.

Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, perdana menteri berkata langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di wilayah-wilayah berkenaan akan diteruskan. – 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen