Tidak lebih 50 jemaah solat sunat Aidilfitri, kata PM


SOLAT sunat Aidilfitri hanya dibenarkan di masjid dan surau dengan jumlah kehadiran jemaah yang terhad, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menangani Covid-19 di seluruh Malaysia berkuat kuasa Rabu ini.

Bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah, hanya 50 jemaah dibenarkan untuk solat sunat Aidilfitri, kata perdana menteri.

Bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah, jumlah jemaah yang dibolehkan untuk solat sunat Aidilfitri ialah 20 orang, katanya.

“Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat,” kata Muhyiddin, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Amalan ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur juga tidak dibenarkan semasa sambutan hari raya, yang dijangka jatuh pada Khamis ini.

Muhyiddin dalam kenyataannya mengumumkan PKP dikuat kuasa di seluruh negara bermula Rabu ini hingga 7 Jun.

Ini adalah PKP kali yang ketiga dikenakan sejak Covid-19 dikesan di Malaysia sejak hujung Januari 2020.

PKP pertama dikuatkuasakan pada pertengahan Mac hingga awal Mei 2020 manakala PKP kedua diperintahkan pada Januari lalu secara berperingkat mengikut negeri-negeri.

Di bawah PKP ketiga ini, semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil dilarang.

“Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam,” kata Muhyiddin.

Orang bukan Islam juga akan dihadkan untuk hadir ke rumah ibadat masing-masing dan SOP mengenainya akan ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan, tambahnya. – 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen