PERJALANAN rentas negeri dan daerah, serta aktiviti yang boleh menyebabkan kesesakan kini dilarang bermula Isnin ini hingga 6 Jun, kata Ismail Sabri Yaakob.
Larangan selama empat minggu untuk aktiviti tersebut juga merangkumi acara melibatkan pegawai kerajaan dan sektor swasta, kata menteri kanan (kluster keselamatan) itu.
Walaupun larangan itu hingga 6 Jun, perintah kawalan pergerakan (PKP) telah diumumkan hingga 17 Mei untuk enam daerah di Selangor, dan hingga 20 Mei bagi Kuala Lumpur.
“Semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak polis di seluruh negara tidak dibenarkan berkuatkuasa 10 Mei 2021 hingga 6 Jun 2021,” kata menteri pertahanan dalam satu kenyataan hari ini.
“Selain itu, semua aktiviti seperti berikut juga adalah tidak dibenarkan berkuatkuasa 10 Mei 2021 hingga 6 Jun 2021.
“Aktiviti sosial, pendidikan dan aktiviti ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan, atau kesesakan awam.
“Begitu juga dengan aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan dan swasta,” katanya.
Namun, keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu dia dikuatkuasakan, tambahnya.
Selain enam daerah di Selangor dan Kuala Lumpur, PKP juga dikenakan di beberapa kawasan di Johor, Terengganu, Perak, dan seluruh Kelantan.
Hari ini, Kuantan, tiga daerah di Pulau Pinang dan dua mukim di Perak juga dikenakan PKP.
Malaysia mencatatkan kes baharu Covid-19 melebihi 4,000 untuk hari kedua berturut-turut, dengan 4,519 kes dilaporkan setakat tengah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga memberi amaran kes harian boleh mencecah 7,000 pada penghujung Mei atau awal bulan Jun, jika orang ramai mengabaikan prosedur operasi standard (SOP). – 8 Mei, 2021.
Komen