EMPAT minggu mendatang sangat getir buat negara untuk mengekang penularan Covid-19, selain memastikan sistem penjagaan kesihatan awam tidak runtuh, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Amaran ketua pengarah kesihatan itu muncul apabila katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital kerajaan dan swasta mencapai tahap maksimum.
“Jika anda dijangkiti dan datang ke hospital, dan jika kami tak ada katil ICU, kita akan berhadapan masalah.
“Kita tak mahu jadi seperti negara di mana kita kena pilih siapa yang hidup dan siapa yang mati,” katanya, secara tidak langsung merujuk kepada India.
Noor Hisham berkata, orang ramai boleh memainkan peranan dengan hanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan pihak berkuasa yang sepatutnya membantu menghentikan penyebaran virus.
“Mudah-mudahan, beri kami tempoh dua minggu, itu akan bagi kita masa mempersiapkan diri dan mengatur kembali diri kita sendiri dan mungkin akan menurunkan kes-kes sehingga hospital-hospital kita dapat memenuhi pesakit dijangkiti Covid-19,” katanya.
“Ini adalah dua hingga empat minggu yang sangat getir buat kita untuk mengatasi jangkitan. Kita tak boleh berjaya tanpa kerjasama rakyat.
“Oleh itu, kita mesti patuh SOP. Duduk di rumah jika boleh.
“Hospital awam dan hospital swasta kehabisan katil,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Mengambil kira peningkatan kes harian Covid-19, Noor Hisham menasihatkan orang ramai menyambut Hari Raya di kalangan ahli keluarga berbanding mengadakan rumah terbuka.
Membandingkan angka tersebut, Noor Hisham berkata, perayaan yang diraikan dengan cara sederhana tahun lalu tidak menyumbang kepada peningkatan kes.
“Sambut Hari Raya dalam rumah, bukan rumah terbuka.
“Raikanlah sesama sendiri, sama seperti yang kita buat tahun lepas. Jika kita buat perkara sama, kita dapat kekang jangkitan,” katanya.
Noor Hisham juga meminta orang ramai menghindari perjumpaan besar seperti majlis perkahwinan dan pengebumian, yang menurutnya boleh menjadi penyebar super.
Katanya Malaysia perlu belajar dari India, di mana ia mengadakan pelbagai perjumpaan sosial, yang membawa kepada tsunami kes Covid-19 di negara itu. – 8 Mei, 2021.
Komen