LIMA ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis hari ini berhubung dakwaan campur tangan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dalam urusan polis.
Mereka yang membuat laporan polis secara individu ialah ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, ahli Parlimen Petaling Maria Chin Abdullah, ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew dan ahli Parlimen Lumut, Hatta Ramli.
Fahmi memberitahu The Malaysian Insight mereka memutuskan untuk membuat laporan itu selepas menyaksikan sidang media terakhir bekas Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador minggu lalu di mana beliau membuat beberapa pendedahan mengenai campur tangan Hamzah dalam pasukan polis.
“Sidang media itu mengandungi beberapa tuduhan serius termasuk penyalahgunaan kuasa atau campur tangan pasukan polis.
“Terdapat juga tuduhan individu yang tidak disebutkan namanya yang membawa jet peribadi ke Sabah selepas ada yang meninggalkan parti politik tertentu.
“Ini pertama kalinya kita melihat dakwaan terbuka yang dibuat oleh KPN terhadap menteri dalam negeri.
“Ini memerlukan siasatan serius oleh polis,” kata Fahmi kepada TMI.
Hamid memberitahu media Jumaat lalu bahawa Hamzah campur tangan dalam urusan polis sehingga menyebabkan perpecahan dalam pasukan.
Hamid memberi amaran bahawa campur tangan politik dalam urusan polis mesti dihentikan serta merta demi masa depan negara.
“Seorang menteri tidak boleh campur tangan dalam kawal selia pasukan PDRM.
“Menteri hanya diberi kuasa untuk tetapkan dasar,” katanya pada sidang media di Bukit Aman Jumaat lepas.
Fahmi juga berkata beliau membuat lapoan berasingan terhadap Hamzah, berdasarkan temubual Hamid dengan Malaysia Gazeete bahawa menteri dalam negeri itu menggunakan Cawangan Khas bagi memenuhi tujuan politiknya.
“Saya membuat laporan polis berasingan terhadap Hamzah. Yang ini hanya oleh saya sahaja.
“Ini adalah tuduhan yang sangat serius. Tuduhan yang memalukan,” kata Fahmi.
Dalam temubual dengan Malaysia Gazette, Hamid berkata Hamzah cuba mengatur pelantikan pegawai kanan polis untuk terus mempergunakan Cawangan Khas Bukit Aman demi kepentingan politiknya.
“Menteri berkenaan dikatakan mengatur langkah untuk menjadikan budaknya menyandang jawatan PCK Bukit Aman kerana individu itu mudah mengikut arahan menteri,” katanya.
Hamzah minggu lalu mengakui sebagai individu dalam perbualan yang dibocorkan mengenai pelantikan pegawai tinggi polis.
Hamid yang merupakan timbalan ketua Cawangan Khas semasa pentadbiran Barisan Nasional juga berkata dalam wawancara itu bahawa Hamzah didakwa mengarahkan Cawangan Khas melakukan operasi untuk tujuannya sendiri.
Ketika dihubungi untuk mendapatkan maklum balas, setiausaha politik Hamzah memberitahu The Malaysia Insight bahawa menteri itu sedang bermesyuarat dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi. – 4 Mei, 2021.
Komen