Ringgit lebih kukuh dijangka turunkan harga sayur import


The Malaysian Insight

Statistik menunjukkan Malaysia mengimport 2.2 juta tan sayur-sayuran dan buah-buahan pada 2014 memandangkan pengeluaran negara tidak mampu menampung permintaan domestikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2018.

HARGA sayur dijangka turun dengan ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS, yang akan menurunkan harga barangan import, kata para peniaga.

Ringgit, yang kehilangan hampir 20% daripada nilainya sejak 2015, mencecah nilai 4.00 kepada dolar AS pada Jumaat.

Walaupun negara menghasilkan sayur-sayuran di Cameron Highlands, tengah Pahang dan Johor, ia tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan.

Statistik oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menunjukkan negara mengimport 2.2 juta tan sayur-sayuran dan buah-buahan pada 2014.

Bagi memenuhi permintaan tempatan, sayur-sayuran dan buah-buahan diimport dari China, India dan Australia.

Penjual sayur Mohd Firdaus Ahmad Fauzi menjangka harga lebih baik jika ringgit mengukuh berbanding dolar AS.

“Saya rasa ia akan membantu jika ringgit lebih baik. Semua akan menjadi lebih baik,” kata peniaga berusia 21 tahun itu yang menjual sayur sejak lima tahun lalu di pasar basah Bayan Baru.

“Harga secara keseluruhannya naik. Bunga kantan mahal, cili merah naik sehingga RM18 atau RM19. Sebelum ini harganya RM12 hingga RM13 sekilogram.”

Tinjauan oleh The Malaysian Insight mengenai harga sayur-sayuran terpilih di empat kawasan di negara ini menunjukkan harga rendah di lebih separuh pasaraya dalam tinjauan ini meskipun semasa musim hujan.

Bagaimanapun, pasar basah di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang dan Lembah Klang lebih tinggi daripada harga purata pada September 2017, sebelum musim hujan bermula.

The Malaysian Insight melihat harga ikan kembung, ayam, kubis, lobak merah, tomato dan bayam di empat pasar basah antara 4 dan 5 Januari.

Harga itu dibandingkan dengan senarai harga Jabatan Perangkaan pada September 2017, sebelum bermulanya musim tengkujuh.

Kaji selidik itu dijalankan di empat pasar basah di Pulau Pinang, Lembah Klang, Kuching dan Kota Kinabalu.

Sebanyak 11 pasar raya besar di kawasan itu, empat di Lembah Klang, tiga di Kuching dan Pulau Pinang, satu di Kota Kinabalu turut dimasukkan.

Hasil import yang lebih murah

Menurut ukuran jabatan bagi inflasi, indeks harga pengguna (CPI), menunjukkan harga sayuran meningkat sebanyak 3.2% pada November 2017.

Dalam tinjauan The Malaysian Insight, harga kubis, lobak merah dan tomato lebih rendah daripada harga purata September di pasar raya besar di Lembah Klang dan Kota Kinabalu.

Harga lebih tinggi di beberapa pasar raya besar di Kuching berbanding September 2017.

Tomato dan lobak merah adalah dua sayur yang merekodkan harga lebih rendah berbanding September 2017 di kebanyakan pasaran di empat kawasan tersebut.

Penjual sayur Kota Sentosa, Ah Ming berkata kubis, lobak merah dan tomato semuanya diimport sama ada dari luar negara atau Semenanjung.

Dia menyuarakan pandangan yang sama seperti Firdaus dari Pulau Pinang, mengaitkan harga sayur yang tinggi dengan nilai ringgit yang lemah.

Harga juga tinggi semasa musim hujan yang menjejaskan bekalan dari ladang-ladang di Semenanjung.

Seorang lagi penjual sayur, Azman di Shah Alam berkata beberapa hasil tempatan, seperti kacang panjang dan terung, lebih mahal berbanding yang diimport.

Dia bagaimanapun, tidak bersetuju dengan pendapat yang harga akan turun hanya kerana ringgit mengukuh.

“Apa yang saya tahu sekali harga sudah naik, sangat sukar untuk turun. Kenaikannya juga bukan sedikit. Bagi sayur-sayuran tempatan, kenaikan itu mungkin antara RM3 hinggs RM4,” kata peniaga berusia 38 tahun itu yang berniaga sejak 1989. – 8 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen