SEJUTA dos vaksin AstraZeneca akan tiba pada bulan ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata vaksin itu akan dihantar menerusi Covid-19 Vaccine Global Access atau Covax.
“Kita dijadualkan menerima sejuta vaksin pada bulan ini menerusi Covax. Kita akan membuka permintaan kepada negeri lain (kecuali Sarawak yang menolak) dan memastikan mereka yang tidak mendapat akses Internet juga boleh mendaftar,” katanya menerusi Twitter.
Baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Dr Sim Jui Hian menolak untuk menerima vaksin AstraZeneca untuk digunakan di negeri itu.
Kumpulan pertama vaksin itu tiba di negara ini pada minggu lepas.
Awal hari ini, Khairy berkata pendaftaran untuk vaksinasi AstraZeneca secara sukarela sudah penuh selepas dibuka kira-kira tiga jam pada tengah hari tadi.
Katanya semua slot vaksin yang akan diberikan di empat pusat sudah penuh.
Tempahan diterima melalui laman web berdasarkan tempahan “siapa cepat, dia dapat” dan 268,000 individu di Kuala Lumpur dan Selangor berusia 18 tahun ke atas sudah mendaftar.
“Semua slot ditempah sepenuhnya.
“Anda masih boleh klik di tarikh/PPV tersebut untuk dimasukkan dalam senarai menunggu.
“Kami akan segera memulakan janji temu ke MySejahtera atau SMS anda tidak lama lagi,” katanya.
Program vaksinasi Covid-19 mempunyai tiga fasa dengan sasaran 80% populasi atau 26.5 juta penerima yang akan divaksin secara percuma.
Fasa pertama bermula pada 26 Februari hingga 30 April dengan menyasarkan kumpulan barisan hadapan.
Fasa kedua akan bermula bulan ini sehingga Ogos dengan melibatkan kumpulan berisiko tinggi manakala fasa ketiga membabitkan mereka berusia 18 tahun ke atas bermula bulan depan sehingga Februari 2022. – 2 Mei, 2021.
Komen