Hamzahkah yang naik jet peribadi beli wakil rakyat Sabah, tanya Azis Jamman


Umum tahu lawatan Hamzah ke Sabah tahun lalu membawa kepada sidang media dan pengumuman pertama yang dibuat oleh dua orang wakil rakyat yang mengumumkan sokongan kepada Perikatan Nasional, kata Azis Jamman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2021.

BEKAS timbalan menteri dalam negeri Mohd Azis Jamman bertanya adakah Hamzah Zainuddin yang dimaksudkan oleh Abdul Hamid Bador pergi ke Sabah dengan pesawat peribadi dan merasuah wakil rakyat untuk lompat parti.

Azis merujuk kenyataan ketua polis negara semalam dalam sidang media terakhir menjelang persaraannya Isnin ini.

“Antara pemimpin yang kerap turun ke Sabah menggunakan jet peribadi ketika itu tidak lain tidak bukan, Hamzah Zainuddin. 

“Tiba-tiba ada seorang sudah melompat. Dari mana datangnya duit? 

“Adakah (Abdul Hamid) merujuk kepada Hamzah Zainuddin,” tanyanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, umum tahu lawatan Hamzah ke Sabah tahun lalu membawa kepada sidang media dan pengumuman pertama yang dibuat oleh dua orang wakil rakyat yang mengumumkan sokongan kepada Perikatan Nasional.

Pada pertengahan Jun 2020, dua wakil rakyat Upko Limus Jury dan James Ratib yang sebelum itu mendukung kerajaan Parti Warisan Sabah mengumumkan keluar parti.

Selepas itu, Hamzah mengadakan beberapa lagi lawatan ke Sabah menggunakan jet peribadi, kata Azis.

Lawatan itu yang melibatkan pertemuan dengan pemimpin Umno Musa Aman membawa kepada kemasukan beramai-ramai wakil rakyat Sabah ke dalam pasukan bekas ketua menteri itu, lalu menyebabkan Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Menurut Azis, beliau mendengar beberapa kali kenyataan Abdul Hamid mengenai rasuah politik.

Katanya, kenyataan itu serius kerana datang daripada pegawai tertinggi pasukan polis.

Dalam sidang medianya semalam, Abdul Hamid menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat amalan rasuah politik, termasuk tindakan mengugut dan membeli wakil rakyat untuk lompat parti.

Why can’t they think about it? (Kenapa sampai dah tak boleh fikir?) Mabuk kuasa… sanggup melakukan perbuatan membeli sana, mengugut sini. Itu rasuah namanya, adalah maruah diri sikit,” katanya.

Abdul Hamid juga menyebut ada pemimpin politik yang “naik private jet dari sini (Kuala Lumpur), mana datang duit? Pergi Sabah, tiba-tiba seorang dah mengaku lompat.”

Azis juga berkata sebelum pilihan raya negeri Sabah, pada hujung September 2020, ada gerakan oleh pemimpin kerajaan PN membeli dan mengugut ahli politik Warisan dan parti-parti lain yang mendukungnya.

Gerakan itu menggunakan jabatan dan agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan SPRM, katanya, yang juga ketua pemuda Warisan.

Beliau juga mengaitkan pembebasan Musa daripada 42 pertuduhan jenayah di mahkamah dengan gerakan yang sama.

Tidak lama selepas pembebasan itu, katanya, beberapa wakil rakyat Warisan, DAP dan PKR menerima tawaran untuk keluar parti, dan laporan polis dibuat namun sehingga sekarang tidak tindakan diambil.

Dalam kenyataannya, Azis menyeru agensi anti rasuah supaya menyiasat pendedahan Abdul Hamid mengenai “katak politik”, yang disifatkannya serius kerana datang daripada pegawai tertinggi pasukan polis.

“Apa tindakan SPRM terhadap kenyataan yang cukup serius daripada KPN ini,” katanya.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa membuka semula kes mahkamah Musa dan beberapa kes lain yang dilepaskan sebelum ini, susulan kenyataan Abdul Hamid.

“Adakah pembebasan tersebut ada kaitan dengan gerakan politik untuk menjatuhkan kerajaan Warisan yang mana ketika itu memilih untuk tidak menyokong kerajaan PN walaupun setelah dipaksa dan dipujuk untuk berbuat demikian?” tanyanya. – 1 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen