SPRM mesti siasat rasuah politik, kata Hamid Bador


Noor Azam Shairi

Abdul Hamid percaya tindakan ahli politik bertukar parti melibatkan rasuah dalam politik, yang semakin berleluasa kerana ada ahli politik yang "mabuk kuasa". – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 April, 2021.

AGENSI antirasuah mesti menyiasat rasuah politik sejak kebelakangan ini, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, yang menyifatkannya sudah berleluasa apabila ahli politik “melompat ke sana dan ke sini”.

Beliau percaya tindakan ahli politik bertukar parti melibatkan rasuah dalam politik, yang semakin berleluasa kerana ada ahli politik yang “mabuk kuasa”.

“Why can’t they think about it? (Kenapa sampai dah tak boleh fikir?) Mabuk kuasa… sanggup melakukan perbuatan membeli sana, mengugut sini. Itu rasuah namanya, adalah maruah diri sikit,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, petang tadi.

Ini merupakan sidang media terakhir beliau menjelang persaraannya pada Isnin.

Menurut Abdul Hamid, sepanjang mengetuai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) beliau berusaha untuk meningkatkan integriti pasukan keselamatan itu, namun kesal melihat rasuah berleluasa dalam kalangan ahli politik.

“Saya minta SPRM masuk dan ambil tindakan. Jangan takut.

“It’s sickening (Memualkan). Sudah lama rakyat Malaysia muak tengok… sekejap katak lompat sana, sekejap katak berbunyi sana. Apa tu? Ada unsur apa tu? Rasuah tu.

“Saya minta SPRM masuk siasat macam mana boleh wujud katak di sini, wujud katak di sana. Rimas rakyat,” tambahnya.

Abdul Hamid berkata amalan rasuah politik yang tidak ditangani akan memberi gambaran yang tidak baik seolah-olah negara tiada undang-undang.

Beliau kesal kerana orang politik yang “kuat mengutuk PDRM” sebenarnya cakap tidak serupa bikin apabila mereka sendiri tidak berintegriti.

“Ini yang orang kata, macam ayam berkokok tapi belakangnya penuh dengan tahi… dia tak nampak,” katanya.

Beliau tidak menamakan sesiapa tetapi menyebut ada ahli politik yang menggunakan pesawat peribadi ke Sabah dan tidak lama selepas itu ada ahli politik yang lompat parti.

Pada akhir Julai 2020, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal menasihati Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah selepas sebilangan wakil rakyat melompat parti meninggalkan kerajaan Warisan.

Sabah mengadakan pilihan raya negeri pada hujung September 2020.

Jangan jadikan polis tunggangan

Dalam pada itu, Abdul Hamid juga menegaskan tidak mahu pasukan polis dijadikan tunggangan politik.

“Saya tidak mahu pasukan polis ini digunakan untuk menjalankan kerja-kerja kotor untuk menakut-nakutkan orang. Saya tidak benarkan waktu saya (mengetuai PDRM), tinggal tiga hari saja lagi.

“Selepas ini kalau berlaku, tak tahulah,” katanya.

Abdul Hamid juga meninggalkan pesanan mahu pasukan polis berlaku adil kepada semua pihak tanpa mengira kaum dan agama, kelas dan latar belakang, termasuk pegangan politik.

Abdul Hamid, 62, akan digantikan oleh timbalannya Acryl Sani Abdullah Sani berkuat kuasa Selasa.

Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin menyerahkan surat pelantikan sebagai ketua polis negara ke-13 kepada Acryl Sani dalam satu majlis di Putrajaya.

Sementara itu, Abdul Hamid yang diminta bercakap mengenai penggantinya, enggan mengulas lanjutnya.

Katanya, pelantikan Acryl layak selaku pegawai polis paling kanan. 

Abdul Hamid juga meminta semua pihak bersangka baik terhadap penggantinya dan memberi beliau ruang untuk memimpin pasukan polis.

Dalam kenyataan pembukaannya sebelum menjawab soalan wartawan, Abdul Hamid berkata beliau berpegang pada prinsip dirinya bukanlah yang terbaik kerana akan selalu ada orang yang lebih baik.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen