Laporan polis kedua dibuat terhadap pengguna FB ancam biskop Katolik


Kata mereka video mengenai kenyataan Julian Leow 'rebus orang Islam macam rebus katak' itu berbaur fitnah dan mengundang sengketa agama, kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2021.

LAPORAN polis kedua telah dibuat terhadap pemilik akaun Facebook bernama Hud Hud Crew kerana memuat naik video mendakwa Ketua Biskop Katolik Julian Leow ingin mengundang huru-hara antara penganut Islam dan Kristian.

Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur (CLS) membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya semalam dan ia susulan laporan dibuat kumpulan masyarakat sivil (CSO) North-South Initiative (NSI) semalam.

Francis Pereira, bekas presiden kumpulan peguam itu, dalam mengesahkan perkara berkenaan berkata, presidennya Godfrey Thomas Fernandez membuat laporan itu.

Kedua-dua CSO itu menggesa polis menjalankan siasatan terhadap Hud Hud Crew kerana memuat naik video yang menimbulkan ancaman peribadi terhadap Leow selain hasutan agama untuk menimbulkan permusuhan antara kaum dan agama.

Mereka berkata hantaran Hud Hud Crew bertajuk “Rahsia Besar: Rakaman Perancangan 25 Tahun Archbishop Katolik Kuala Lumpur Untuk ‘Rebus Orang Islam Seperti Merebus Katak’” berbaur hasutan, fitnah dan mengandungi fakta salah bagi menimbulkan ketegangan antara kaum, kata kumpulan itu.

Dalam laporannya, Fernandez menyatakan beliau berbuat demikian kerana Leow tidak pernah membuat komen atau menghina agama apa pun dalam video yang dimuat naik di laman Facebook Hud Hud Crew.

Video di mana Leow dapat didengar ketika berucap di Gereja St Francis Xavier di Petaling Jaya, dipercayai dibuat pada 2014.

Katanya polis perlu membuka siasatan atas komen dari pemilik dan pengikut Hud Hud Crew yang mengandungi hasutan, fitnah selain ancaman permusuhan antara kaum.

Fernandez berkata terdapat juga unsur-unsur jenayah seperti ancaman terhadap kehidupan dan pejabat Leow, selain terhadap gereja-gereja dan penganut Kristian di Malaysia.

Beliau juga berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu turut membuka siasatan segera mengenai siapa yang menyunting, membuat, menulis dan menyebarkan kandungan Facebook Hud Hud Crew itu yang menurutnya “jelas mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia”.

Hantaran oleh Hud Hud Crew itu mengambil kenyataan Leow, mengenai rancangan 25 tahun terhadap umat Islam dengan analogi katak mendidih bagi menggambarkan rancangannya untuk menekan umat Islam di negara ini.

Mereka mendakwa Leow mengatakan apabila katak dilemparkan ke dalam air mendidih, ia akan segera bertindak balas dan melompat keluar tetapi apabila diletakkan di dalam air sejuk di atas api, katak akan tetap tenang ketika direbus.

Dalam kiriman itu, Hud Hud Crew berkata rakaman video itu diserahkan kepada mereka oleh seorang anggota gereja yang tidak mahu namanya disebut. – 1 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen