S. KASTHURIBAI, ibu remaja terbunuh selepas dihempap kerusi yang jatuh dari tingkat atas flat kediaman tiga tahun lalu, akan mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di mahkamah kerana kecuaian.
“Selepas tiga tahun, ini adalah langkah pertama yang kami ambil dalam kes ini dan saya berharap mendiang anak saya S Sathiswaran mendapat keadilan,” kata pembantu restoran berusia 49 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
Arun Doraisamy, yang membentuk Pasukan Tindakan Sathiswaran (SATEAM) dalam mencari keadilan buat Kasthuribai, akan mengetuai pasukan itu bersama peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal daripada Tetuan Raj & Sach dalam mengemukakan kes hari ini (30 April) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Arun berkata tindakan mengheret DBKL ke mahkamah bukan sekadar kerana pampasan wang tetapi untuk membuktikan terdapat kecuaian yang jelas daripada pihak berkuasa tempatan yang gagal memastikan kebersihan dan keselamatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Beliau berkata tindakan undang-undang terhadap DBKL akan memastikan kecuaian seperti itu tidak berulang lagi selain langkah keselamatan dan penyelenggaraan ditingkatkan di masa depan.
“Biarlah ini jadi yang pertama daripada banyak kes di mana orang tampil untuk menyaman majlis tempatan kerana mengabaikan keselamatan di rumah kos rendah.
“Orang ramai perlu faham Kasthuribai tidak menyaman DBKL hanya untuk mendapatkan pampasan semata-mata tetapi kami tidak mahu kejadian seperti Sathiswaran atau kejadian lain yang mengancam nyawa berlaku kepada penghuni PPR.
“Sama seperti yang lain, mereka layak mendapat jaminan keselamatan di tempat tinggal mereka.
“Kami berharap tindakan undang-undang ini akan mengubah keseluruhan PPR menjadi tempat yang lebih kondusif dan selamat bagi orang untuk didiami,” katanya.

Pada 15 Januari 2018, Sathiswaran, seorang murid di SMK La Salle Brickfields di Kuala Lumpur, berada di tingkat bawah rumah pangsa PPR Seri Pantai bersama Kasthuribai ketika sebuah kerusi jatuh dari tingkat 21 rumah pangsa kos rendah dan menghempap kepalanya.
Sathiswaran yang ketika itu berusia 15 tahun meninggal dunia serta merta akibat cedera parah di kepala.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan namun keluarganya masih tidak tahu siapa yang menyebabkan kematiannya.
Tahun lalu, Kasthuribai menuntut pampasan sebanyak RM1 juta daripada DBKL atas kematian anaknya itu.
Dalam surat tuntutan yang diberi kepada DBKL oleh Tetuan Raj & Sach pada 26 Oktober, Kasthuribai mendakwa pihak berkuasa tempatan gagal dalam tanggungjawabnya untuk memastikan kebersihan dan keselamatan di kawasan awam flat PPR Seri Pantai, di Pantai Dalam, sehingga menyebabkan kematian anaknya.
“Kami diarahkan oleh anak guam kami untuk membuat tuntutan sebanyak RM1 juta akibat kematian anak kepada klien kami, disebabkan kelalaian DBKL.
“Berdasarkan bukti dan dokumen yang ada, kami mendapati kerusi itu berada di koridor tingkat 21, Blok 102 selama kira-kira satu bulan sebelum dibaling pada 15 Januari 2018,” menurut surat itu.
Tambah Arun, walaupun jaring keselamatan dipasang untuk mengurangkan risiko kemalangan barang dilempar dari tingkat atas, beliau berkata ini tidak dilakukan untuk semua PPR di seluruh bandar.
Katanya, ini hanya dilakukan di pangsapuri tertentu untuk mengawal keadaan ketika itu dan menenangkan penduduk setempat.
“Semua perbincangan mengenai jaring keselamatan hanya sekadar cakap manis untuk mengaburi masalah ini. Sebenarnya, tidak semua PPR ada jaring,” katanya.
Baru-baru ini, Kasthuribai mendedahkan beliau berasa dikhianati ahli politik kerana mengambil kesempatan dengan keadaannya dan tidak menunaikan janji kepadanya.
Di antara janji-janji itu, katanya beliau akan mendapat keadilan atas kematian anaknya dan rumah percuma di flat sama yang didiaminya sekarang. Bagaimanapun, semua ini hanya tinggal janji. – 30 April, 2021.
Komen