Terbunuh ditimpa kerusi, ibu mangsa tuntut RM1 juta daripada DBKL


Ravin Palanisamy

S. Kathuribai mahu keadilan di atas kematian anaknya yang terbunuh secara tragis di Pantai Dalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2020.

S. Kasthuribai, ibu kepada seorang remaja yang terbunuh akibat ditimpa kerusi yang dilempar dari tingkat atas sebuah blok perumahan kos rendah dua tahun lalu, menuntut pampasan ganti rugi RM1 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam surat tuntutan yang diterima DBKL oleh Tetuan Raj & Sach pada 26 Oktober lalu, Kasthuribai mendakwa pihak berkuasa tempatan gagal dalam tanggungjawabnya untuk memastikan kebersihan dan keselamatan di kawasan awam flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), sehingga menyebabkan kematian anaknya, S. Sathiswaran yang berusia 15 tahun ketika meninggal dunia.

“Kami diarahkan oleh klien kami untuk menuntut tuntutan sebanyak RM1 juta akibat kematian anak kepada klien kami, disebabkan kelalaian Dewan Bandaraya.

“Berdasarkan bukti dan dokumen yang ada, kami mendapati bahawa kerusi itu berada di koridor tingkat 21, Blok 102 selama kira-kira satu bulan sebelum dibaling pada 15 Januari 2018.

“Kami juga diperintahkan bahawa anda telah lalai dan/atau gagal dan/atau menolak untuk memastikan bahawa tempat tersebut dilupuskan dan/atau dipindahkan ke tempat pembuangan sampah dan dengan itu secara langsung anda telah cuai dan/atau gagal dan/atau menolak untuk menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan awam di Pangsapuri PPR Pantai Dalam.

“Kami menuntut dari anda kerugian RM1 juta akibat kematian anak pelanggan kami disebabkan kecuaian anda,” kata surat tersebut.

Sathiswaran mati di tempat kejadian setelah dihempap kerusi yang dibaling dari Blok 102 Flat Seri Pantai di Pantai Dalam pada tahun 2018.

Polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai pembunuhan namun keluarga itu tidak mengetahui siapa yang menyebabkan kematian anak mereka.

Surat tuntutan itu menyatakan bahawa Kasthuribai akan mengemukakan saman sivil terhadap Dewan Bandaraya sekiranya mereka gagal membayar pampasan dalam masa tujuh hari dari tarikh surat tersebut.

Arun Dorasamy, yang memimpin Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) kini turut membentuk Pasukan Tindakan Sathiswaran (SATEAM) untuk memperjuangkan keadilan Kasthuribai, yang kehilangan anaknya secara tragis.

Arun memberitahu The Malaysian Insight bahawa tindakan sedemikian terhadap Dewan Bandaraya adalah demi memastikan bahawa kecuaian tersebut tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

“Kami ingin memastikan keselamatan orang-orang di flat PPR. Bukan hanya ini tetapi semua flat PPR.

“Terdapat banyak kes seperti ini di kawasan flat. Dewan Bandaraya mesti bertindak untuk memastikan langkah keselamatan diambil di tempat-tempat seperti ini.

“Kami tak mahu kejadian seperti yang terjadi ke atas Sathiswaran berulang lagi,” katanya.

Kasthuribai memberitahu The Malaysian Insight bahawa beliau gembira kerana Tetuan Raj & Sach bersetuju untuk mengambil kes ini secara pro bono.

“Saya harap akhirnya kita akan dapat keadilan. Sudah lama menunggu dan belum ada kemas kini dari mana-mana pihak sehingga hari ini,” katanya. – 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen