Tinjauan politik bersemuka lebih baik, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Tinjauan Institut Darul Ehsan pada bulan lepas menunjukkan keputusan sebaliknya dengan 2 daripada 10 responden mahu Muhyiddin kekal sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2021.

TINJAUAN politik perlu dijalankan secara bersemuka untuk mendapatkan hasil lebih tepat, kata penganalisis.

“Sebagai contoh, kelemahan tinjauan menerusi panggilan telefon adalah ia tidak memberi hasil yang tepat daripada responden.

“Apatah lagi jika tahap literasi politik responden tidak jelas,” kata Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

Beliau berkata langkah ini amat penting apabila jumlah responden dianggap tidak cukup besar bagi saiz sampel.

Awang Azman mengulas tentang tinjauan terbaharu Merdeka Centre yang menunjukkan seramai 67% responden menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Tinjauan ini menjadi pertikaian di media sosial kerana dianggap tidak tepat susulan kritikan yang diterima kerajaan terutamanya dengan trending #KerajaanGagal di Twitter baru-baru ini.

Malah tinjauan daripada Institut Darul Ehsan (IDE) pada bulan lepas menunjukkan keputusan sebaliknya dengan 2 daripada 10 responden mahu Muhyiddin kekal sebagai perdana menteri.

Apabila dihubungi, seorang pegawai Merdeka Center berkata pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung perkara ini esok.

Awang Azman berkata tahap literasi politik responden amat penting kerana orang Melayu tidak mempunyai pandangan yang sama dalam politik.

“Hasil kajian yang lebih tepat boleh didapati menerusi sesi wawancara secara lebih mendalam.

“Ini termasuk jika Merdeka Centre bertanya mengenai pemerintahan Perikatan Nasional yang keluar dari Langkah Sheraton pada tahun 2020.”

Beliau berkata Muhyiddin perlu mengadakan pilihan raya umum sekarang jika benar beliau menikmati sokongan 83% orang Melayu dan 67% secara keseluruhannya.

“Jika benar, Bersatu dan Perikatan pasti akan menang besar. Ketepatan tinjauan ini hanya boleh diuji menerusi pilihan raya umum,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik dari Ilham Centre Hisomuddin Bakar turut bersetuju dengan Awang Azman bahawa tinjauan menerusi telefon adalah terhad.

“Tidak seperti yang lain, Ilham Centre mengadakan sesi wawancara secara bersemuka. Saya tidak meragui kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti demografi responden yang digunakan oleh pengkaji lain tetapi wawancara telefon adalah terhad, ”kata Hisomuddin.

Tidak seperti sebelum 2018 apabila kerajaan Barisan Nasional tumbang, isu politik pada hari ini lebih rumit terutamanya melibatkan pandangan orang Melayu, kata Hisomuddin.

“Walaupun ramai orang Melayu yang ditemuramah baru-baru ini mengatakan mereka prokerajaan, mereka dilihat keliru apabila menilai senario berbeza.

“Apabila ditanya sama ada mereka akan mengundi antara Perikatan dan Barisan Nasional/Umno, mereka akan menjawab Umno.

“Di satu pihak, mereka menyokong Muhyiddin atau Perikatan tetapi apabila ditanya tentang undi, mereka masih memilih BN,” jelasnya.

Tambahnya situasi politik terkini menambahkan kekeliruan kepada pengundi apabila Umno menolak Bersatu. – 26 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen