MRSM laksana pembelajaran di rumah 2 minggu selepas Aidilfitri, umum Mara


Pelajar MRSM akan menjalani pembelajaran secara dalam talian antara 16 sehingga 27 Mei dan hanya akan kembali ke maktab selepas cuti semester berakhir pada pertengahan Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2021.

SEMUA Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan menangguhkan sesi persekolahan bersemuka selama dua minggu bermula selepas cuti Hari Raya Aifilfitri, umum Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) Mara.

Mereka akan belajar secara dalam talian antara 16 hingga 27 Mei dan hanya akan kembali ke maktab selepas cuti semester berakhir pada pertengahan Jun, kata pekeliling BPM Mara.

“Sepanjang tempoh tersebut, pengajaran dan pembelajaran hendaklah diteruskan secara home-based learning mengikut kesesuaian guru dan pelajar,” kata Pengarah BPM Mara Wan Ainizah Ariffin dalam pekeliling itu yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Pekeliling itu dikeluarkan semalam dan ditujukan kepada semua pengetua di 53 buah MRSM di seluruh negara.

Menurut Wan Ainizah, langkah itu diambil bagi mengawal penularan Covid-19 dan menjaga keselamatan semua pelajar serta warga maktab daripada dijangkiti pandemik.

“(Ini) kerana pelajar-pelajar serta warga maktab baru sahaja pulang bercuti sempena menyambut Aidilfitri bersama dengan ahli keluarga,” katanya.

Dengan keputusan ini, pelajar MRSM akan pulang bercuti untuk Hari Raya Aidilfitri pada 7 Mei dan hanya akan kembali ke maktab pada 12 atau 13 Jun.

The Malaysian Insight difahamkan beberapa MRSM di serata negara hari ini mula mengeluarkan memo kepada ibu bapa, waris dan penjaga memaklumkan keputusan berkenaan.

Keputusan ini dibuat ketika beberapa MRSM dilapor mengesan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru.

Semalam, satu kluster jangkitan Covid-19 diumum dikesan di Sabah melibatkan pelajar MRSM Semporna.

Kementerian Kesihatan pada Isnin mengumumkan enam daripada 14 kluster baharu jangkitan Covid-19 yang dikesan dalam tempoh 24 jam sebelumnya melibatkan institusi pendidikan.

Setakat hujung Mac, Kementerian Kesihatan mengumumkan terdapat 15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi yang dikesan sejak 1 Januari 2021.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan juga mengesan 11 kluster jangkitan di sekolah menengah, 10 di sekolah rendah dan prasekolah, serta lima di pusat tahfiz dan madrasah.

Beberapa lagi kluster baharu yang melibatkan institusi pendidikan turut dikesan pada minggu-minggu selepas itu.

Semalam, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling menutup 19 buah sekolah di daerah itu bagi tujuan pembersihan dan saringan kontak rapat selepas 27 kes Covid-19 dikesan secara keseluruhan melibatkan semua sekolah berkenaan.

Awal minggu ini, bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik meminta Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin dan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad lebih telus berhubung keadaan penularan Covid-19 di sekolah dan pusat pengajian tinggi.

MRSM yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) ditadbir di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan tidak terletak di bawah Kementerian Pendidikan. – 21 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen