Maszlee minta kementerian telus jangkitan Covid-19 di institusi pendidikan


Maszlee Malik berkata Peningkatan jangkitan pandemik di institusi pendidikan sejak kebelakangan ini amat membimbangkan banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2021.

BEKAS menteri pendidikan Dr Maszlee Malik meminta dua kementerian yang menjaga hal ehwal pendidikan lebih telus berhubung keadaan penularan Covid-19 di sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Beliau meminta Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin dan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad tampil membuat penjelasan kepada rakyat.

Katanya, peningkatan jangkitan pandemik di institusi pendidikan sejak kebelakangan ini amat membimbangkan banyak pihak.

“Hal ini tidak boleh dipandang remeh. Pihak berwajib terutamanya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi harus tampil untuk memberikan penjelasan. 

“Para pemegang taruh perlu ditenteramkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat hujung Mac, Kementerian Kesihatan mengumumkan terdapat 15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi yang dikesan sejak 1 Januari 2021.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan juga mengesan 11 kluster jangkitan di sekolah menengah, 10 di sekolah rendah dan prasekolah, serta lima di pusat tahfiz dan madrasah.

Beberapa lagi kluster baharu yang melibatkan institusi pendidikan turut dikesan pada minggu-minggu selepas itu.

“Rakyat ingin tahu kluster manakah yang melibatkan sekolah, politeknik, kampus IPG, universiti mahupun kolej,” katanya.

Jelas Maszlee, orang ramai ingin tahu langkah yang telah dan akan diambil untuk membendung Covid-19 bagi mengelak sebarang spekulasi liar dalam kalangan masyarakat setempat yang terkait dengan kluster-kluster tersebut.

Dalam pada itu, Maszlee memuji langkah Kementerian Pendidikan untuk tidak lagi menutup sekolah secara pukul rata sebaliknya menyerahkan proses membuat keputusan kepada pihak pengurusan setempat.

Namun katanya perkara itu perlu dijelaskan kepada umum bersama alasan tindakan yang diambil.

“Rakyat semakin matang, maka pendekatan mendidik dan berkongsi informasi secara telus amat penting,” katanya.

Kenyataan Maszlee menyusul pengumuman kerajaan Sarawak yang mengarahkan semua sekolah yang berada dalam zon merah jangkitan Covid-19 di negeri ini ditutup selama 14 hari mulai esok.

Keputusan diumum oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg susulan trend peningkatan kes jangkitan baharu Covid-19 di Sarawak. – 19 April, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen