DEWAN Pemuda PAS sekali lagi meminta kerajaan memberi peluang kepada presidennya menjelaskan Amanat Hadi yang disampaikan hampir 40 tahun lalu.
Naib Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata desakan tersebut dibangkitkan semula memandangkan amanat itu sering kali menjadi bahan serangan politik Dr Mahathir Mohamad terhadap parti Islam itu.
Dr Mahathir sebelum ini dalam sebuah forum mendakwa Hadi sebenarnya yang kafir kerana bekerjasama dengan Umno dan sebelum itu dengan DAP.
Katanya tuduhan kafir itu berdasarkan Amanat Hadi pada 1981 menyatakan kerajaan Barisan Nasional ialah sebuah kerajaan kafir, ia wajar ditentang dan kalau mati dalam perjuangan,masuk syurga.
“Kami tidak menumpukan pada isu (bahawa Dr Mahathir) perlu disiasat,
“Kami tak tumpu isu tersebut. Tapi bila beliau (Dr Mahathir) panjangkan isu kafir mengkafir dengan amanat Hadi ia jadi isu berbeza,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur hari ini.
Tuntutan supaya Hadi diberi peluang menjelaskan isu Amanat Hadi melalui siaran secara langsung di televisyen pertama kali dibangkitkan oleh anaknya, Muhammad Khalil pada Ogos lalu.
Khalil berkata bapanya sedia menjelaskan Amanat Hadi yang didakwa mempunyai kaitan dengan Tragedi Memali pada 1985. Tragedi itu mengorbankan 18 nyawa orang awam dan anggota polis.
Tambah Khairil, Pemuda PAS juga sebenarnya sudah muak dengan isu tidak releven yang sering dibangkitkan Dr Mahathir.
Bahkan katanya, serangan Dr Mahathir semakin ketara terhadap PAS dan presidennya kerana musim pilihan raya yang semakin tiba.
“Jujurnya kami tak bincang pun isu Dr Mahathir, ia isu tak relevan dan isu yang dikitar semula.
“Kita tak cakna salah beliau, kami minta pada Dr Mahathir hentikan politik kebencian kerana anak muda sekarang ini lebih pentingkan isu tingkatkan taraf hidup, pengangguran, peluang pekerjaan, perumahan,” katanya lagi.
Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata plaform media perdana merupakan medium terbaik bagi presiden parti Islam itu memberikan penjelasan Amanat Hadi.
“Kerajaan ada media, sepatutnya media kerajaan bukan kerajaan punya tapi ia kepunyaan seluruh rakyat.
“Kalau kerajaan berpandangan isu seumpama ini menimbulkan keresahan, (dan) kekeliruan, saya rasa adalah wajar media kerajaan bukanlah media parti diberi peluang kepada presiden parti bantu menjelaskan kisah dari sudutnya,” katanya mengulas mengapa PAS meminta bantuan kerajaan menyiarkan secara langsung penjelasan Hadi dan tidak dilakukan media parti itu sendiri.
Katanya, penjelasan mengenai Amanat Hadi telah dilakukan banyak kali sebelum ini menerusi ceramah dan program turun padang parti Islam tersebut.
“Kita dah lama beri penjelasan dalam program tertutup kita, dah lama. Tapi biasanya bila kita beri penjelasan ada saja pihak cuba buat tafsiran sendiri.
“Kerana kenapa tidak dengar penjelasan daripada mulut orang yang mengeluarkan amanat sendiri. Walaupun sebenarnya ia bukanlah amanat sebab tak silap saya ceramah waktu itu satu jam lebih kenapa 10 baris saja diambil,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam isu berasingan Pemuda PAS mengumumkan akan mengadakan Konvesyen Anak Muda Sejahtera pada 24 Februari ini.
Khairil berkata, konvensyen itu yang mungkin di adakan di Selangor dan Kuala Lumpur juga melancarkan manifesto Gagasan Anak Muda Sejahtera sebagai persedian berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – 6 Januari, 2018.
Komen