Hadi kafir, pengkhianat orang Islam, kata Dr Mahathir


Low Han Shaun

Dr Mahathir Mohamad hari ini menuduh Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai kafir, kerana bekerjasama dengan Umno, parti yang pernah dituduh ulama itu sebagai parti kafir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Januari, 2018.

ABDUL Hadi Awang seorang kafir kerana bekerjasama dengan Umno, sebuah parti yang pernah dikafirkannya pada suatu masa dahulu kerana berbaik dengan parti bukan Islam, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dalam serangannya terhadap Presiden PAS itu, Dr Mahathir juga berkata Hadi seorang pengkhianat kerana bekerjasama dengan Umno untuk memecahbelahkan undi rakyat kepada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Orang yang menyalahgunakan Islam ialah Hadi. Hadi dalam amanatnya (pada 1981) mengatakan kerajaan (Barisan Nasional) ialah sebuah kerajaan kafir, dan ia wajar ditentang dan kalau mati dalam perjuangan, masuk syurga. Itu janji dia dan ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

“Jadi sekarang dia bekerjasama dengan Umno, dan pada suatu masa bekerjasama dengan DAP, jadi sekarang dia sendirilah kafir,” tambah Dr Mahathir, menggunakan hujah yang pernah dipakai oleh Hadi.

Beliau juga berkata presiden parti Islam itu tahu akan kalah dalam PRU14, namun masih memilih bertanding untuk “memecahkan undi pembangkang” bagi “membantu Najib menang”.

“Hadi tahu akan kalah di kebanyakan kerusi, tetapi dia hendak membantu Najib menang dengan memecahkan undi pembangkang. Itulah niatnya, dan itu tidak Islamik.”

“Dalam bahasa Melayu kita menyebutnya pengkhianat, kerana memang itulah dia, maksudnya dia akan masuk dan bertanding sedangkan tahu akan kalah, tetapi dia tahu kesan bertanding itu,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata walaupun Hadi akan “memenangi beberapa kerusi”, PAS tidak mempunyai peluang untuk menang jika ia bertanding dalam pilihan raya umum sendirian.

PAS baru-baru ini memaklumkan akan bertanding 130 kerusi Parlimen, dan mengintai 50 lagi kerusi untuk sekutunya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mewakili parti itu dalam PRU14.

“Kami mensasarkan sekurang-kurangnya 130 kerusi pada masa ini, tetapi kami mungkin mensasarkan 50 kerusi lagi. Kami boleh menamakan calon daripada beberapa rakan pertubuhan bukan kerajaan,” kata Hadi sebagaimana dilaporkan New Straits Times.

“Dia (Hadi) boleh memenangi beberapa kerusi. Bila PAS bertanding sebagai PAS tanpa menyertai mana-mana gabungan, mereka tidak pernah menang lebih daripada 11 kerusi. Pernah sekali mereka menang satu kerusi sahaja.

“Mereka hanya menang bila menyertai DAP, dengan DAP mereka menang 21 dan 27 kerusi ketika itu. Jadi sekarang mereka bertanding sendirian, dan mereka sendiri kalah, daripada 130 atau 1 juta kerusi mereka akan bertanding, mereka akan kalah semuanya, tetapi ia akan membantu rakan baik mereka, kafir daripada Umno,” katanya. – 3 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen