BERDASARKAN pertumbuhan sektor pengeluaran dan pelancong Pulau Pinang tahun lepas, negeri itu tidak akan terjejas dengan anggaran pemberhentian pekerja tahun ini yang dikeluarkan sebuah kumpulan majikan, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bahawa lebih 50,000 orang pekerja, terutamanya dalam sektor pembuatan dijangka akan diberhentikan tahun ini.
PENGARAH Eksekutif MEF, Shamsudin Bardan awal minggu ini berkata sektor pembuatan, insurans, perbankan, peruncitan dan pembinaan akan menyaksikan pemberhentian ramai pekerja disebabkan situasi ekonomi semasa.
Setakat September tahun lepas, 30,7000 orang hilang pekerjaan.
“Ia tidak akan berlaku di Pulau Pinang. Kami masih kekurangan 20,000 pekerja,” kata Lim pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.
Pekerja masih diperlukan dalam sektor elektronik dan perhotelan di negeri itu, katanya yang juga menambah kehilangan pekerjaan akan ditampung oleh permintaan baru.
“Tambah tolak, kita akan masih kekurangan pekerja.”
Katanya, Pulau Pinang menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat tahun lalu dan menganggarkan pertumbuhan negeri akan terus bertambah tahun ini.
“Saya menjangka kita mampu mencapai pertumbuhan sehingga lebih 6%.
“Dalam sektor pembuatan, kita telah pun mencatatkan pelaburan sebanyal RM9.9 bilion dalam sembilan bulan pertama 2017. Ia adalah dua kali ganda berbanding yang dicatatkan tahun sebelumnya iaitu pada RM4.3 bilion.
“Ini hanya untuk tiga suku pertama. Jumlah keseluruhan pelaburan dicatatkan tahun lalu adalah lebih tinggi,” katanya.
Pelaburan hampir mencecah RM10 bilion menjadikan Pulau Pinag sebagai negeri teratas dalam pelaburan asing secara langsung di negara ini. RM8 bilion adalah daripada pelaburan asing secara langsung.
Lim juga berkata sektor pelancongan, yang merupakan salah satu pemacu utama ekonomi Pulau Pinang dilihat baik selepas peningkatan jumlah pelancong ke negeri itu dicatatkan tahun lalu.
Ketibaan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mencecah 6.7 juta tahun lalu, melebihi kapasiti maksimum lapangan terbang 6.5 juta, katanya.
“Kita juga akan mengadakan lebih banyak penerbangan antarabangsa ke Pulau Pinang. Bermula bulan depan, kita akan ada penerbangan antara Pulau Pinang dan Doha oleh syarikat penerbangan Qatar Airways, iaitu syarikat penerbangan terbaik di dunia.”
Lim juga berkata Pulau Pinang juga berkembang sebagai destinasi perniagaan atau industri Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).
Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines untuk mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pilihan MICE.
Satu lagi petunjuk yang dinyatakan Lim adalah peningkatan kadar penghunian hotel.
“Malah hotel di tanah besar melaporkan peningkatan penghunian. Hotel The Light di Seberang Jaya menyaksikan peningkatan 75%,” katanya. – 6 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan