BADAN kawal selia komunikasi mesti siasat cadangan penggabungan Celcom Axiata Bhd dan Digi kerana ia melanggar akta anti persaingan, kata ahli Parlimen DAP.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata cadangan itu jika diluluskan bermakna satu entiti baharu akan memonopoli lebih 50% pelanggan telekomunikasi di negara ini.
“Ini akan mengurangkan pilihan kepada pengguna, dan bertentangan dengan persaingan dan merugikan pengguna baik dari segi pilihan mahupun harga,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Stampin itu menambah, mengikut Seksyen 133 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 pemegang lesen tidak boleh mengambil sebarang tindakan yang mempunyai tujuan mengurangkan persaingan dalam pasaran komunikasi.
Menurutnya lagi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh meluluskan penggabungan di bawah Seksyen 140 Akta Komunikasi dan Multimedia, dengan syarat atas “kepentingan negara”.
“Tiada keraguan bahawa cadangan penggabungan akan memberi kesan anti persaingan terhadap industri telekomunikasi, yang bercanggah dengan Seksyen 133 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan tiada ‘kepentingan negara’ untuk SKMM meluluskannya,” katanya.
Chong mengambil contoh kegagalan penggabungan telekomunikasi Sweden TeliaSonera dari Sweden dengan Telenor milik Norway, yang dikatakan akan merangsang pelaburan dalam teknologi dan rangkaian serta memberi manfaat kepada pengguna Denmark.
Pihak berkuasa Denmark katanya segera menyiasat kerana bimbang penggabungan tersebut akan menyebabkan harga yang lebih tinggi dan kurang inovasi. Penggabungan itu juga dibimbangi tidak memberi persaingan kompetetif kepada dua syarikat lain iaitu TDC dan Three Denmark.
Cadangan penggabungan itu akhirnya batal kerana kedua-dua pengendali tidak dapat membuktikan bahawa cadangan itu memberi manfaat kepada pengguna Denmark, kata Chong.– 13 April, 2021.
Komen