CELCOM Axiata Bhd dan Digi.com Bhd bakal menggabungkan operasi mereka di Malaysia bagi menjadi penyedia perkhidmatan mudah alih terbesar di negara ini, kata The Edge dalam laporan yang memetik beberapa sumber.
Penggabungan operasi dijangka berbeza dengan pelan penggabungan mega 2019 antara syarikat induk kedua-dua kumpulan telco - Axiata Bhd dan Telenor ASA - apabila kedua-duanya cuba menggabungkan operasi mereka di Asia.
“Penggabungan akan membawa keuntungan kewangan, walaupun setiap pihak tidak akan memegang saham pengendali dalam entiti yang digabungkan ... penggabungan tersebut sepatutnya dinilai (dari segi) manfaat kewangan,” kata laporan itu memetik sumber.
Perdagangan saham Axiata dan Digi.Com di Bursa Malaysia digantung sementara menunggu pengumuman.
Axiata akan mengadakan taklimat media pada jam 2 petang hari ini.
Pada Mei 2018, Axiata dan Telenor mengumumkan sedang dalam perbincangan untuk menubuhkan entiti global gabungan, MergedCo, dengan menggabungkan operasi Axiata dan Telenor di Asia dalam pasaran Asean dan Asia Selatan.
Transaksi yang dicadangkan itu dijangka akan membolehkan MergedCo menyatukan gabungan skala, kecekapan dan pengalaman yang luas daripada operasi Axiata dan Telenor di Asia dalam memimpin dan mengurus pasaran baharu dan maju.
Di peringkat Malaysia, rancangannya adalah untuk menggabungkan Celcom dan Digi menjadi MalaysiaCo.
Bagaimanapun, perjanjian itu terhenti pada September 2019. – 8 April, 2021.
Komen