SEKUMPULAN ibu bapa mengambil tindakan terhadap kumpulan NGO Parent Action Group for Education (PAGE) kerana menyebabkan kekeliruan terhadap Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) di sebuah sekolah vernakular di Petaling Jaya.
Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim didakwa “menghasut” ibu bapa SJK (T) Vivekananda supaya membantah pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menghentikan program DLP di sekolah itu.
Pada 20 Disember tahun lalu, KPM telah mengeluarkan pekeliling kepada ibu bapa sekolah itu, memaklumkan penggantungan DLP di sekolah terbabit pada 2018.
Jurucakap ibu bapa berkenaan, R. Balamurali telah memfailkan satu laporan polis terhadap Azimah dan berkata Azimah di dalam suratnya telah menghasut ibu bapa sekolah Tamil itu mengenai DLP.
Surat itu juga telah diterbitkan di portal The Malaysian Insight dan surat khabar.
Surat Azimah itu menekankan saman yang difailkan pada September tahun lalu susulan beberapa ibu bapa bimbang program DLP akan mengurangkan pembelajaran Bahasa Tamil.
“Siapa dia untuk menghasut ibu bapa, sebab Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mewakili majoriti ibu bapa (sekolah itu) serta diberikan mandat untuk memfailkan permohonan ini di mahkamah.
“Peguam kami berpendapat ada kemungkinan ia boleh menyebabkan penghinaan kepada mahkamah kerana kes itu masih berada di mahkamah.
“Jadi, kenyataannya seperti majoriti ibu bapa membantah permohonan ini dan seperti menghasut ibu bapa supaya mengambil tindakan terhadap pekeliling KPM pada 20 Disember,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Balamurali yang merupakan salah seorang ibu bapa yang menentang DLP di SJK (T) Vivekananda berkata, kajian semula kehakiman itu difailkan pada September tahun lalu oleh ibu bapa seorang murid dan sebuah badan NGO terhadap pentadbiran sekolah itu.
Katanya, sekolah SJK (T) Vivekananda tidak mengikut garis panduan pelaksanaan DLP tahun lalu yang harus mendapat kelulusan PIBG sekolah menerusi surat persetujuan sebelum DLP dilaksanakan.
“Tetapi apa yang berlaku ialah DLP dilaksanakan tanpa pengetahuan PIBG, tak tahu bagaimana sekolah (SJK (T) Vivekananda) boleh mendapatnya.
“Jadi, ada beberapa masalah prosedur yang telah kami ajukan kepada mahkamah, dan mahkamah memberitahu kami supaya mendapatkan butiran lanjut untuk pendengaran semula pada 27 Februari di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Tambah Baramuli lagi, mereka hanya meminta DLP di SJK (T) Vivekananda, Petaling Jaya dihentikan, bukan di sekolah lain.
Semalam, KPM mengumumkan sebanyak 1,215 buah sekolah sedia ada yang melaksanakan DLP pada 2017 akan meneruskan program itu tahun ini untuk hanya murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu.
Ia turut berkata garis panduan pelaksanaan DLP yang baharu akan dilaksana dan dikeluarkan pada minggu pertama bulan ini.
“Kesemua 1,215 buah sekolah akan meneruskan prgram itu bagi kelas sedia ada dan boleh membuat pembukaan kelas baharu bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja.
“Bagi 88 sekolah baharu yang diluluskan pelaksanaannya pada tahun 2018, pembukaan kelas baharu adalah bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja,” menurut kenyataan itu. – 5 Januari, 2018.
Komen