KERAJAAN meneruskan pelaksanaan program kontroversi Dual Language Program (DLP) tahun ini walaupun terdapat tindakan undang-undang terhadap program itu.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, 1,303 buah sekolah di Malaysia akan meneruskan program itu bermula tahun ini.
“KPM ingin memaklumkan bahawa pada tahun 2018 program ini akan diteruskan di sejumlah 1,215 buah sekolah sedia ada.
“Pada 2018 juga, KPM telah memberi kelulusan kepada sejumlah 88 buah sekolah baharu bagi pelaksanaannya yang menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang melaksanakan DLP pada tahun 2018 adalah seju,lah 1,303 buah sekolah,” katanya dalam kenyataan itu.
Sebelum ini satu tindakan saman difailkan pada Jun tahun lalu selepas beberapa ibu bapa bimbang DLP akan mengurangkan pembelajaran bahasa Tamil. Ini menyebabkan ketidakpastian di kalangan ibu bapa sama ada DLP akan diteruskan atau sebaliknya tahun ini.
Isu ini mula timbul selepas gabungan NGO India Malaysia pada Februari tahun lalu meminta KPM memmansuhkan program berkenaan di 47 Sekolah Tamil.
“Kesemua 1,215 buah sekolah akan meneruskan prgram itu bagi kelas sedia ada dan boleh membuat pembukaan kelas baharu bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja.
“Bagi 88 sekolah baharu yang diluluskan pelaksanaannya pada tahun 2018, pembukaan kelas baharu adalah bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja.
Kenyataan itu juga menyebut Surat Pekeliling Ikhtisas dan Garis Panduan Pelaksanaan DLP Tahun 2018 akan dikeluarkan pada minggu pertama Januari 2018.
Katanya, kelas DLP akan bermula pada 7 Januari bagi negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor.
Kelas bagi negeri lain akan bermula pada 8 Januari.
DLP diperkenalkan oleh kementerian sebagai sebahagian daripada menerusi Gelombang 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mana sekolah akan mengajar subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.
Berbeza dengan dasar Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), DLP dilaksanakan secara sukarela. – 4 Januari, 2018.
Komen