Umno keluar Perikatan bila-bila masa, putus perwakilan


Diyana Ibrahim Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Perwakilan Umno sebulat suara menyerahkan mandat kepada MKT parti untuk menentukan kedudukan dalam kerajaan Perikatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

PERHIMPUNAN Agung Umno 2020 memberi mandat kepada Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk menentukan masa yang sesuai “pada bila-bila masa” untuk Umno menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin, kata presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, MKT Umno akan menentukan masa yang sesuai itu sekiranya tiada petunjuk pilihan raya umum akan diadakan pada waktu yang terdekat.

“Saya mahu minta kebenaran pengerusi tetap untuk tanya kepada perwakilan, setuju atau tidak setuju,” kata Ahmad Zahid kepada Badruddin Amiruldin yang mempengerusikan mesyuarat.

Pertanyaan Badaruddin kepada perwakilan, yang pada ketika itu masing-masing sudah berdiri, disambut dengan kata setuju.

Ahmad Zahid seterusnya memberi jaminan menteri atau ahli Parlimen Umno yang mempunyai jawatan dalam kerajaan PN tidak akan teragak-agak meletak jawatan apabila keputusan dicapai.

“Kalau ini jadi keputusan mereka saya yakin rakan kita dalam MKT menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC malah seluruh ahli Parlimen akan seratus peratus ikut perutusan parti tarik diri dari PN

“Ertinya kalau tarik diri ini keputusan parti mereka takkan gusar untuk letak jawatan demi mematuhi keputusan yang dibuat parti,” katanya.

Ahmad Zahid kemudian mengakhiri ucapan penggulungannya, yang memakan masa tidak sampai 10 minit.

Zahid seterusnya memberi jaminan menteri atau ahli Parlimen Umno yang mempunyai jawatan dalam kerajaan PN tidak akan teragak-agak meletak jawatan apabila keputusan dicapai.

“Kalau ini jadi keputusan mereka saya yakin rakan kita dalam MKT menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC malah seluruh ahli Parlimen akan seratus peratus ikut perutusan parti tarik diri dari PN.

“Ertinya kalau tarik diri ini keputusan parti mereka takkan gusar untuk letak jawatan demi mematuhi keputusan yang dibuat parti,” katanya.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Umno mesti tegas dan tidak teragak-agak dengan pilihan jalan masa depannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

Jangan acah-acah lagi

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebelum itu dalam ucapan penggulungannya sebelum giliran Ahmad Zahid mengingatkan Umno supaya jangan lagi acah-acah sekiranya sudah membuat keputusan mengenai masa untuk menarik sokongan itu.

Katanya, Umno mesti tegas dan tidak teragak-agak dengan pilihan jalan masa depannya.

“Kalau nak langgar bulan lapan (Ogos) langgar, jangan acah-acah, tidak ada gunanya. Sekali kita melangkah jangan undur.

“Jika dah setuju nak tarik diri bulan lapan, tarik diri, jangan main silat pulut tak sudah-sudah,” katanya.

Beliau menyebut Ogos ini sebagai contoh iaitu tempoh perintah darurat dijangka berakhir pada 1 Ogos.

Muhyiddin sebelum ini beberapa kali menegaskan beliau bukan mengelak untuk mengadakan pilihan raya dan berjanji akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan segera Parlimen sebaik saja darurat berakhir.

Perhimpunan Agung Umno 2020 yang diadakan hanya sehari turut meluluskan resolusi ucapan dasar presiden yang antara lain menolak kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya pada sebelah pagi berkata Umno tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Bersatu, DAP dan PKR, sementara Barisan Nasional akan bertanding sendirian menggunakan lambang dacing. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen