Ahli Parlimen PKR persoal bank mampu bayar bonus ketika pandemik


Ragananthini Vethasalam

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad persoal mengapa moratorium pinjaman menyeluruh ditamatkan sedangkan bank ada kemampuan kewangan bayar insentif kepada kakitangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2021.

BAYARAN bonus yang lumayan oleh bank kepada eksekutif kanan mereka menunjukkan moratorium pinjaman tidak menjejaskan dasar institusi kewangan ini, kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Parlimen PKR itu juga mempersoalkan mengapa moratorium pinjaman menyeluruh ditamatkan sedangkan bank mempunyai kemampuan kewangan membayar insentif kepada kakitangan mereka.

Terdapat kontroversi yang eksekutif bank kanan menerima insentif seperti kenaikan gaji, bonus dan faedah lain walaupun ketika wabak Covid-19 ketika ramai berdepan tekanan sosial dan ekonomi setelah kehilangan pekerjaan atau menerima potongan gaji, katanya.

Nik Nazmi berkata walaupun tidak salah bagi syarikat termasuk GLC memberi ganjaran kepada pekerja mereka yang bekerja keras terutama semasa krisis, beliau berkata persoalannya apakah insentif ini secara langsung berkaitan dengan prestasi bank.

“Memang benar kebanyakan mereka memperoleh keuntungan yang sihat. Cuma, kita juga tidak boleh lupa bahawa sektor perbankan Malaysia amat terkawal,” katan dalam kenyataan hari ini.

“Jadi, apa yang mereka lakukan untuk mendapat keuntungan yang luar biasa ini?” soalnya.

Beliau juga berkata moratorium mengawal pertumbuhan pinjaman tidak berbayar.

“Oleh itu, sangat aneh bank-bank dan kerajaan, terutama Kementerian Kewangan, berkeras bahawa moratorium pinjaman menyeluruh seharusnya ditamatkan,” katanya.

“Mengapa berakhir sekiranya mereka masih dapat membayar bonus ini?” katanya.

Nik Nazmi berkata semua bank, terutama yang berkaitan dengan kerajaan, mempunyai misi nasional untuk dipenuhi, dan bukannya menekan jutaan rakyat demi keuntungan tambahan untuk membayar individu terpilih.

Ini katanya adalah persoalan yang harus dijawab oleh lembaga pengarah bank-bank ini dan Kementerian Kewangan.

The Malaysian Reserve baru-baru ini melaporkan eksekutif kanan menerima bayaran besar untuk tahun kewangan 2020 walaupun kebanyakan bank melaporkan keuntungan lebih rendah.

Menurut laporan itu, sekurang-kurangnya tiga ketua pegawai syarikat menerima kenaikan gaji lebih 10% pada tahun kewangan 2020 walaupun institusi kewangan mereka melaporkan kos lebih rendah selepas pelbagai langkah pengurangan kos. – 26 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen