SUDAH enam bulan berlalu dan Pendaftar Pertubuhan (RoS) masih belum lagi meluluskan permohonan pendaftaran Muda sebagai sebuah parti politik, kata pengasas bersama parti itu Mutalib Uthman.
Mutalib berkata alasan yang diberikan kepada mereka ialah RoS masih menjalankan pemeriksaan latar belakang.
“Latar berlakang kami jelas, kami juga buat temu bual dalaman bagi memastikan ahli kami bersih, mereka tidak ada rekod jenayah dan tidak bankrap. Ini adalah usaha wajar kami.
“Kami mahu mereka mempercepatkan proses itu,” katanya.
Pada 7 Januari, Muda mengesahkan permohonan pendaftarannya ditolak oleh RoS kerana ia tidak menepati Jadual Pertama Akta Persatuan 1966 dan ia ditolak mengikut Seksyen 7(3)(e) akta itu.
Parti itu memfailkan permohonan pendaftaran pada September 2020.
Muda berkata ia tidak nampak alasan kukuh untuk permohonan mereka ditolak, terutama apabila mereka sudah memberikan kerjasama sepenuhnya.
Mereka mendakwa penolakan permohonan itu adalah agenda Perikatan Nasional untuk menghalang Muda menyertai pilihan raya umum akan datang.
Mutalib berkata memandangkan parti itu dilihat sebagai lemah, tidak ada alasan utk RoS tidak menerima pendaftaran mereka.
Katanya, parti itu hanya mahu mempertahankan hak mereka untuk menjadi sebuah persatuan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kami bukan pertubuhan haram, ajaran sesat atau pengganas. Kami bukan ancaman pada sesiapa.
“Mereka fikir kami lemah. Tajuddin Rahman (ahli Parlimen Pasir Salak daripada Umno) menggelar presiden kami (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) budak, ‘cucu atok’ dan pasukan siber juga cuba buat kami nampak lemah,” katanya.
Beliau berkata pada dua minggu pertama Muda ditubuhkan, mereka menerima lebih 30,000 permohonan untuk menyertai parti itu.
“Kami perlahankan pengambilan ahli seperti diarahkan RoS. Kami hentikan pengambilan ahli dan aktiviti.
“Kami tidak, kami akan ada lebih ramai ahli, tetapi kami hanya mematuhi arahan mereka,” kata Mutalib.
Pada 12 Januari, Muda dan 12 individu lain memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mencabar keputusan RoS menolak permohonan merkea.
Muda menamkaan RoS dan Kementerian Dalam Negeri sebagai responden pertama dan kedua dalam tuntutan itu.
Mahkamah pada 4 Februari menolak permohonan itu, berkata ia gagal mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 18 Akta Persatuan 1966 di mana mereka terlebih dulu perlu merayu perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri. – 25 Mac, 2021.
Komen