Mahkamah tolak permohonan Muda untuk semak keputusan RoS


Pendaftaran Muda ditolak RoS kerana tidak mematuhi Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk semakan semula kehakiman terhadap keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menolak pendaftarannya sebagai parti politik.

Hakim Mariana Yahya memutuskan rayuan Muda kepada mahkamah dibuat sebelum matang tempoh kerana ia belum lagi melalui segala proses yang termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966.

Undang-undang memperuntukkan segala rayuan terhadap keputusan pendaftar pertubuhan dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri terlebih dahulu sebelum akhirnya diputuskan oleh mahkamah.

Muda diwakili oleh bekas peguam negara Tommy Thomas sementara RoS dan Kementerian Dalam Negeri diwakili oleh peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly.

RoS pada 6 Januari lepas menolak permohonan pendaftaran Muda kerana dengan alasan tidak teratur.

Dalam afidavitnya menyokong permohonan semakan kehakiman, pengasas Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara lain menegaskan permohonan Muda teratur dan lengkap, dan tiada ada kecacatan.

Beliau juga berkata RoS gagal menjelaskan ketidakaturan yang dijadikan alasan untuk ia menolak permohonan pendaftaran Muda.

RoS antara lain menolak permohonan pendaftaran Muda kerana perlembagaannya tidak menyatakan had maksimum umur ahli.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata pihak penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sudah mengemukakan rayuan kepadanya selepas RoS juga menolak permohonan pendaftaran parti itu pada hari sama ia menolak permohonan Muda.

Pejuang mengemukakan rayuannya pada 8 Januari, kata Hamzah. – 4 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen