Rakyat perlu tolak cadangan persempadan-an semula PAS, kata Bersih 2.0


Noel Achariam

Bersih berkata kenyataan Mohd Khairuddin Aman Razali untuk menetapkan sempadan pilihan raya bagi menguntungkan orang Melayu dan Islam sama sekali tidak sekata dan melanggar prinsip “satu orang, satu undi”. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2021.

BERSIH 2.0 menggesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan pandangan politik untuk menolak serta mengecam niat jahat Pas untuk mengubah sempadan pilihan raya yang akan merompak demokrasi rakyat.

Badan pengawas pilihan raya itu mengingatkan parti Islam bahawa mereka pernah berjuang untuk pilihan raya bersih dan adil kerana mereka menjadi mangsa sistem undian yang tidak adil.

“PAS pada suatu masa dahulu pernah menentang kuat isu Gerimander sehingga menghantar wakil untuk membantah persempadanan semula yang dilakukan oleh SPR pada tahun 2016.

“Adalah tidak wajar Mohd Khairuddin Aman Razali ingin mengulangi semula amalan lapuk dan kotor yang pernah ditentang PAS suatu ketika dahulu,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin semalam berkata bahawa sempadan kawasan pilihan raya Parlimen dapat diubah bagi memberi manfaat kepada orang Melayu-Islam sekiranya PAS dan sekutunya memenangi pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua pertiga.

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu berkata, ia memerlukan kerjasama tiga parti Melayu - PAS, Bersatu dan Umno - untuk menjadikan impian itu satu kenyataan. 

Bersih berkata menetapkan sempadan pilihan raya berdasarkan etnik adalah tidak bermoral dan tidak akan membantu dalam memupuk perpaduan nasional di Malaysia.

Mereka berkata kenyataan Khairuddin untuk menetapkan sempadan pilihan raya bagi menguntungkan orang Melayu dan Islam sama sekali tidak sekata dan melanggar prinsip “satu orang, satu undi”.

“Kenyataan beliau jelas menunjukkan niat beliau untuk melukis sempadan dengan pembahagian tidak sekata (malapportionment) dan Gerimander (Gerrymandering) bagi memenangkan parti beliau dalam pilihan raya. 

“Persempadanan yang berat sebelah (gerrymandering) adalah pengkhianatan kepada demokrasi. Dalam demokrasi, pengundi memilih ahli politik, maka ahli politik mesti menjaga rakyat dan bekerja kuat kalau tidak ingin dibuang kerja,” katanya. – 24 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen