PAS ingin ubah sempadan pilihan raya demi manfaat Melayu-Islam, kata Khairuddin


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali berkata PAS melihat keperluan jangka masa panjang untuk memenangi PRU15 dengan majoriti 2/3.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 123 Mac, 2021.

SEMPADAN kawasan Parlimen pilihan raya boleh diubah untuk memberi manfaat kepada orang Melayu-Islam jika PAS dan sekutunya memenangi pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua pertiga, kata Khairuddin Aman Razali.

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu berkata, ia memerlukan kerjasama tiga parti Melayu - PAS, Bersatu dan Umno - untuk menjadikan impian itu satu kenyataan.

“PAS melihat keperluan jangka masa panjang untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 2/3. 

“Di saat itu perubahan sempadan pilihan raya yang menguntungkan Islam Melayu serta pertambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu boleh diusahakan,” kata Khairuddin dalam catatan di Facebook.

Berdasarkan Artikel 113 Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya hanya boleh melakukan pelaksanaan persempadanan semula selepas lapan tahun dari tarikh pelaksanaan terakhir atau jika ada perubahan jumlah kerusi Parlimen di bawah Artikel 46.

Tempoh lapan tahun akan berakhir di Sarawak pada 2023, 2025 di Sabah dan 2026 di Semenanjung Malaysia.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata matlamat majoriti dua pertiga hanya dapat dicapai sekiranya PAS, Bersatu dan Umno terlibat dalam perlawanan satu lawan satu dengan parti pembangkang.

Namun, hubungan antara Umno dan Bersatu tegang baru-baru ini.

Majlis Tertinggi Umno dalam mesyuarat terakhirnya pada 19 Februari di Janda Baik, Pahang, bersetuju untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata ia merupakan pendirian Umno untuk menyokong Bersatu hanya sehingga PRU15.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan pemimpin daripada semua parti terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang, yang dipimpin oleh Bersatu.

Beliau juga berkata PAS ingin meneruskan kerjasama politiknya dengan Bersatu dan Umno sehingga selepas PRU15 demi masa depan negara. – 23 Mac, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen