Majlis Gereja tolak dialog isu kalimah Allah


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka bagi tujuan pendidikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2021.

ADALAH sangat tidak wajar untuk berdialog dengan Kementerian Dalam Negeri mengenai isu kalimah Allah kerana kesnya kini di Mahkamah Rayuan, kata Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM).

Presiden CCM Melter Jiki Tais berkata Kementerian Dalam Negeri merupakan antara pihak yang membuat rayuan selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan membenarkan orang Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’.

Melter memberi maklum balas kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang sebelum ini berkata kementerian akan meminta untuk mengadakan dialog dengan sarjana Islam dan Kristian bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah “Allah”.

Kenyataannya dibuat berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Hakim Nor Bee Arifin juga berkata arahan Kementerian Dalam Negeri 1986 yang melarang orang Kristian menggunakan kata yang bermaksud “Tuhan” dalam Bahasa Melayu serta kata-kata lain adalah tidak sah dan tidak berpelembagaan.

Keputusan itu mendatangkan kekecohan di antara parti politik Muslim dan kumpulan masyarakat sivil di Semenanjung, sementara 65 kumpulan lain mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menarik semula rayuan terhadap keputusan tersebut.

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian berkata Pakatan Harapan ingin menyelesaikan masalah itu di luar mahkamah tetapi percubaan digagalkan oleh Muhyiddin yang merupakan menteri dalam negeri semasa pemerintahan gabungan itu. 

Tais dalam satu kenyataan petang ini berkata Putrajaya telah mengemukan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Mac.

“Kerana masalah ini sekarang di Mahkamah Rayuan, kami berpendapat bahawa sangat tidak wajar ia diselesaikan melalui dialog oleh kementerian yang merupakan antara pihak yang membuat rayuan.

“Kami komuniti Kristian di Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak, selalu bersedia untuk hidup dalam damai, harmoni serta saling menghormati dengan masyarakat agama lain,” katanya. – 19 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen