KDN bakal adakan dialog isu kalimah 'Allah'


Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata pertemuan antara badan agama sangat penting agar isu kalimah 'Allah' dapat diselesaikan secara damai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2021.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan dialog dengan sarjana Islam dan Kristian bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah “Allah”, kata Hamzah Zainudin.

Menteri dalam negeri berkata pertemuan antara badan agama itu sangat penting agar perkara itu dapat diselesaikan secara damai.

“Saya akan menjemput para sarjana Islam dan ahli agama serta mereka daripada pertubuhan Kristian untuk duduk bersama agar kita semua dapat menyelesaikan masalah ini.

“Saya percaya ia perlu diselesaikan sekarang agar tidak berpanjangan dan menjadi beban di masa depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan kaunter bergerak terbaru Jabatan Pendaftaran Negara.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata tiada larangan terhadap penggunaan kalimah “Allah” untuk orang Kristian di Sarawak.

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian juga berkata Pakatan Harapan ingin menyelesaikan isu kalimah “Allah” di luar mahkamah tetapi usahanya digagalkan oleh Muhyiddin Yassin, ketika memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri.

Pada 10 Mac, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam keputusan penting memutuskan penganut Kristian Jill Ireland Lawrence Bill dari Sarawak boleh menggunakan kalimah “Allah” bagi amalan agamanya.

Hakim Nor Bee Ariffin juga berkata arahan KDN pada 1986, melarang penggunaan perkataan yang bermaksud “Tuhan” dan juga perkataan lain, adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

Hakim berkata Jill hilang hak untuk mengamalkan agamanya.

Keputusan penggunaan kalimah “Allah” mendapat kritikan daripada beberapa parti politik dan kumpulan Islam yang berpusat di Semenanjung.

Kementerian Dalam Negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Sebanyak 65 kumpulan masyarakat sivil mendesak Muhyiddin menarik balik rayuan kerajaan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang mengizinkan semua rakyat Malaysia menggunakan kalimah “Allah”.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata “Allah”, perkataan Arab untuk Tuhan, dipinjam oleh Bahasa Malaysia, Iran, Bidayuh, Punjabi dan banyak lagi. – 19 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen