Menjejak suspek militan Sarawak


Desmond Davidson Muzliza Mustafa

Al Muhd Alfie Kqhyriel ditahan bersama empat pucuk pistol, lapan kelopak peluru dan 70 butir peluru yang disembuntikan dalam kasut dan begnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi, Pakistan. – Gambah Facebook, 4 Januari, 2018.

RUMAH teres setingkat di Jalan Halia, Lutong Baru di Miri, Sarawak itu tidak menunjukkan tanda-tanda ada penghuni walaupun ada tiga buah kereta dan sebuah motosikal diparkir di lamannya.

Laungan dari pintu pagarnya tidak bersahut.

Dua daripada kenderaan itu terpasang plat pendaftaran Semenanjung Malaysia.

Rumah yang terletak di Kampung Cina itulah tempat tinggal ibu kepada anak muda suspek militan yang ditahan di Pakistan pada 23 Disember lalu. Ibunya itu sudah bercerai.

Kampung Cina itu sendiri pun sebuah nama yang tidak kena kerana tempat itu bukannya sebuah kampung tetapi taman perumahan di kawasan yang disebut oleh penduduk setempat sebagai Lutong Baru.

Al-Muhd Alfie Kqhyriel, 20, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi, Pakistan ketika hendak menaiki pesawat Thai Airways menuju ke Kuala Lumpur melalui Bangkok.

Anggota keselamatan Pakistan menemui empat pucuk pistol dan lebih kurang 70 butir peluru, tersorok dalam bagasi dan tapak kasutnya.

Alfir didakwa anggota kumpulan militan Islamic State (IS) dan cuba menyeludup senjata dan peluru itu ke Malaysia.

Pihak berkuasa Malaysia dan Pakistan masih menyiasat bagaimana Alfie dapat senjata dan peluru itu dan daripada siapa. Dia sehingga ini masih di tahan di penjara di Karachi.

Alfie, sang serigala penyendiri

Sumber risikan Malaysia menggambarkan Alfie sebagai seorang “serigala penyendiri”, iaitu seorang yang bekerja, bertindak dan tinggal bersendirian.

Maklumat ini dikumpulkan selepas siasatan menunjukkan dia tidak pernah berhubung dengan mana-mana rakyat Malaysia yang diketahui terlibat dalam pertempuran di Syria.

“Dia seorang pendiam dan bersendirian, tetapi dia selalu menggunakan Internet. Pihak berkuasa percaya melalui Internet itulah dia terpengaruh jadi radikal,” kata sumber.

Antara peluru ditemui disembunyikan oleh Al Muhd Alfie Kqhyriel, dipercayai penyokong Islamic State, ketika menaiki pesawat Thai Airways dari Karachi, Sabtu lalu. – Gambar pasukan keselamatan Pakistan, 3 Januari, 2018.

Sasaran serangan Alfie juga tidak diketahui.

Sejak beberapa tahun lalu, IS mengeluarkan rakaman video menggesa pengikutnya yang tidak dapat menyertai perjuangan di Syria untuk melancarkan serangan ke atas orang kafir di negara sendiri.

Ia mengakibatkan beberapa serangan berdarah oleh “serigala penyendiri” di Perancis, Britain, Indonesia dan Filipina yang sudah berikrar taat setia kepada khalifah IS, Abu Bakar Al-Baghdadi.

Rakaman video terbaru yang dikeluarkan oleh IS ialah pada 30 Disember lepas. Rakaman berdurasi lapan minit itu memaparkan rakyat Malaysia, Muhammad Aqif Heusen Rahizat, 25, yang meninggalkan negara pada 2013. Dalam rakaman itu dia menyeru para pengikut Daesh untuk melancarkan serangan di negara sendiri.

Video itu menggunakan Bahasa Inggeris dan Arab serta memuatkan temu bual dengan seorang pengebom bunuh diri.

Sehingga hari ini, 34 rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam pertempuran IS di Iraq dan Syria.

Sejumlah 53 orang – 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak – dipercayai masih ada di Syria tetapi mungkin sudah melarikan diri dari bandar-bandar yang terlibat dalam pertempuran, kata polis Malaysia.

Menurut polis, rakyat Malaysia ini mungkin berlindung di kem-kem di sepanjang sempadan Syria dengan Jordan dan Turki.

Alfie dari SMK Lutong

Tidak jauh dari rumah ibunya, seorang jiran yang berselang dua pintu yang sedang memberi makan anjing berkata dia tidak tahu apa-apa tentang keluarga Alfie kecuali mereka itu “keluarga Melayu”.

Ibu Alfie sudah ke Kuala Lumpur beberapa hari sebelumnya untuk “mengelak cakap-cakap dan soalan orang” tentang anak lelakinya, kata sumber polis.

Suspek militan itu membesar di Lutong, 10km dari Miri, bandar yang menempatkan ibu pejabat Sarawak Shell Bhd (SSB) dan Petronas Carigali. Terminal minyak mentah Petronas juga terletak di kawasan ini.

Rumah ibu Alfie di Jalan Halia, Lutong, Sarawak kelihatan senyap sunyi. Menurut sumber polis, beberapa hari sebelum, ibu Alfie telah terbang Kuala Lumpur bagi “mengelakkan gosip dan soalan” mengenai anak lelakinya itu. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Januari, 2018.

Walaupun Lutong sebuah bandar kecil dan kebanyakan orang kenal antara satu sama lain kerana mereka kakitangan sama ada Shell atau Petronas, banyak yang terperanjat apabila diberitahu “militan Malaysia yang ditahan di Pakistan” membesar dan bersekolah di sini.

Bekas rakan sekolahnya di sekolah campuran lelaki perempuan itu mengenangnya sebagai seorang “budak biasa yang suka bermain ke sana ke mari.”

Rakan sekolahnya itu yang hanya mahu dikenali sebagai Becky berkata Alfie “sangat bagus dalam Bahasa Inggeris tetapi umumnya tidak begitu pandai atau bagus dalam pelajaran” semasa mereka dalam Tingkatan Satu pada 2010. Rakannya itu dalam kelas yang lain.

“Kerana dia dapat 3A dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), dia ditempatkan di kelas Bistari semasa Tingkatan Satu, kelas budak-budak pandai,” kata Becky.

Bagaimanapun pada tahun berikutnya dia turun ke Bistari 2.

“Selepas Tingkatan Dua, saya tidak pernah nampak dia lagi.”

Apabila dia terbaca berita penangkapan itu di Facebook, terdetik dalam hati Becky raut wajah lelaki itu nampak seperti pernah dilihatnya.

“Nama Al-Muhd Alfie saya tidak ingat tetapi saya ingat ada seorang kawan sekolah yang kami panggil Alfie. Jadi saya bongkar semula buku tahunan sekolah,” kata Becky, yang menyimpan semua buku tahunan sekolah menengahnya.

Gambar kelas Alfie (duduk, dua dari kiri) ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong, Sarawak. Rata-rata rakan sekolahnya terkejut dan tergamam dengan berita penahanan Alfie. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Januari, 2018.

Apabila dilihatnya nama dalam laporan berita itu sama dengan nama bekas rakan sekolahnya itu, dia tergamam dan terduduk.

Seorang lagi bekas rakan sekelasnya kemudian mengesahkan budak 13 tahun dalam gambar kelas itu ialah lelaki berumur 20 tahun yang ditangkap di Pakistan.

“Sama seperti saya, kawan-kawan saya semuanya terkejut dan tak tahu nak cakap apa. Terkejut kerana kami tidak sangka seseorang yang kami tahu ditangkap begitu.”

Dalam foto kelasnya, Alfie nampak sedikit tegap berbanding kawan-kawannya yang duduk di baris depan. Dia tersenyum malu dan guru kelasnya ialah Cikgu Norazairani.

Beberapa orang rakan sekelasnya, yang dijejaki melalui Facebook, tidak membalas pertanyaan atau enggan ditemubual. – 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen