SEORANG rakyat Malaysia ditahan di Karachi, dengan senjata api dan peluru, disyaki anggota kumpulan militan Daesh ketika cuba menaiki sebuah pesawat Thai Airways, lapor media di Pakistan.
Lelaki itu yang dikenal pasti sebagai Al Muhd Alfie Kqhyriel ditahan bersama empat pucuk pistol, lapan kelopak peluru dan 70 butir peluru yang disembuntikan dalam kasut dan begnya, lapor The Express Tribune.
Daily Pakistan pula menyebut rakyat Malaysia itu ditahan di ruang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah. Dia sebelum itu dua kali melepasi pemeriksaan pihak berkuasa yang tidak mengesan senjata dan peluru itu selepas imbasan pengesan logam.
Dia kemudian dibawa ke balai polis Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah untuk disoal siasat oleh pegawai agensi risikan Pakistan.
“Pihak berkuasa sedang menyoal siasat dan cuba mendapatkan maklumat bagaimana dia boleh menyembunyikan pistol dan peluru dalam bagasinya,” lapor portal berita akhbar itu.
Al Muhd juga disoal siasat berhubung penglibatannya dengan kumpulan militan Daesh.
Media Pakistan melaporkan pesawat penerbangan TG342 itu dari Karachi menuju ke Kuala Lumpur, namun semakan jadual penerbangan menunjukkan pesawat tersebut sebenarnya menuju ke Bangkok.
Media Pakistan juga melaporkan insiden hampir sama di lapangan terbang yang sama pada 2015 apabila seorang agen Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) ditahan dengan 15 butir peluru semasa hendak menaiki pesawat domestik ke Islamabad.
Risikan polis Malaysia sebelum ini mendapati anasir Daesh dari pelbagai negara sudah mula menjadikan Malaysia sebagai tapak operasi selepas hilang kawalan ke atas sebahagian besar wilayah yang mereka kuasai di Iraq dan Syria, lapor Bernama.
Polis Diraja Malaysia setakat awal Oktober lalu sudah menahan 346 inidividu yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh, termasuk 95 warganegara Malaysia.
Maklumat yang dikumpulkan oleh Kementerian Dalam Negeri mendapati 53 rakyat Malaysia terlibat dengan kegiatan keganasan di Iraq dan Syria, dengan 34 daripadanya sudah terbunuh.
PDRM juga sebelum ini berjaya menggagalkan rancangan serangan ganas ketika acara utama negara iaitu upacara penutup Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan perbarisan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka pada Ogos lalu.
Percubaan itu gagal apabila 19 lelaki, termasuk 11 warga asing, ditahan dalam enam siri tangkapan antara 4 Julai hingga 30 Ogos. Antara yang ditahan ialah seorang warga Filipina anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang dipercayai suspek utama perancang serangan.
Polis juga pada Oktober menahan tiga lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan enam di Pasir Puteh, Kelantan kerana disyaki merancang serangan ke atas rumah ibadat dan pusat hiburan di Kuala Lumpur, susulan cadangan penganjuran pesta arak. – 23 Disember, 2017.
Komen