TIADA halangan untuk penganut Kristian di Sarawak menggunakan kalimah ‘Allah’, kata Pejabat Ketua Menteri hari ini.
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang membenarkan wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam mengamalkan agamanya.
Beberapa kumpulan Islam dan parti politik di semenanjung membantah keputusan mahkamah kerana ia memberi kebenaran kepada bukan Islam untuk menggunakan kalimah ‘Allah’, yang merupakan perkataan Arab untuk tuhan.
Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.
Terdahulu Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa Putrajaya untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu.
Abang Johari bagaimanapun mengulangi kenyataan bahawa tidak pernah ada halangan bagi penganut Kristian di Sarawak untuk menggunakan kalimah ‘Allah’.
“Harus dijelaskan bahawa kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) dari pentadbiran bekas ketua menteri Adenan, dan sekarang pentadbiran kini, dasar kerjaaan negeri mengenai toleransi beragama di Sarawak adalah konsisten.”
Kenyataan itu menyebut kerajaan negeri “akan terus mempertahankan dan membela toleransi beragama di Sarawak.”
Tambahnya, toleransi agama merupakan faktor yang menjadi teras perpaduan rakyat di negeri itu.
Adenan Satem yang meninggal dunia pada 2017, pada 2014 pernah menyatakan tiada undang-undang di Sarawak yang menghalang bukan Islam di negeri tiu menggunakan kalimah ‘Allah’ ketika mengamalkan agama dan dalam bahan pendidikan mereka.
Beliau juga memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan menggubal undang-undang yang menyekat penggunaan kalimah itu. – 18 Mac, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen