Isu kalimah ‘Allah’, Sultan Johor sokong Putrajaya rayu keputusan mahkamah


Peserta demonstrasi aman pada 2009 memegang plakad tentang kalimah Allah, sebagai bantahan orang bukan Islam menggunakan kalimah itu dalam ajaran merujuk kepada Tuhan agama selain Islam. – Gambar fail EPA, 18 Mac, 2021.

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa Putrajaya meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi bukan penganut bukan Islam di negara ini bagi tujuan pendidikan.

“Selaku ketua agama Islam di Johor, saya menitahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sultan Ibrahim berasa amat dukacita kerana perkara ini boleh menimbulkan perbalahan dan persepsi yang kurang elok terhadap keharmonian rakyat Johor yang hidup bermuafakat di dalam satu negeri.

“Adalah perlu sensitiviti umat Islam dan kesepakatan hidup berbilang kaum dan agama ini diambil kira dalam apa jua keputusan atau penghakiman kerana isu-isu sensitif ini sangat dekat di hati saya selaku Ketua Agama Islam di Negeri Johor khususnya apabila isu berkenaan berkait rapat di dalam ruang sempadan agama Islam.

“Fatwa negeri Johor yang diwartakan kerajaan Johor pada 4 Jun, 2009 secara jelas menyatakan ‘Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, serta ditegah dan dilarang’,” katanya.

Baginda bertitah kalimah “Allah” adalah nama yang khusus kepada Tuhan yang disembah oleh umat Islam.

“Nama ‘Allah’ ini diberi oleh diri-Nya, bukan berasal daripada mana-mana akar kata, tetapi kata nama khas yang merujuk kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang disembah oleh umat Islam.”

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 15 Mac memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan dalam komuniti itu.

Mahkamah membuat keputusan itu dalam kes membabitkan seorang Bumiputera Sarawak beragama Kristian, Jill Ireland yang mencabar larangan kementerian terhadap penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.

Pada 10 Mac, Hakim Nor Bee Ariffin, yang kini hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh wanita keturunan Melanau terbabit.

Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.

Pada 2008, Jill memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill dan memerintahkan semua lapan cakera padat itu dipulangkan namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif lain yang dimohon. – 18 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen