Pengunjung pub, kelab malam akan didenda RM10,000, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Pub dan kelab malam masih tidak dibenarkan untuk dibuka semula di bawah sekatan pergerakan bagi mengekang penyebaran Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2021.

BERKUNJUNG ke pub atau kelab malam adalah kesalahan kategori satu yang boleh dikenakan denda RM10,000 kerana melanggar syarat operasi standard (SOP) Covid-19, kata Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan pergi atau berada di pub atau kelab malam termasuk premis perniagaan seperti restoran dalam pub atau kelab malam, boleh dikenakan denda maksimum RM10,000, katanya.

Pub dan kelab malam masih tidak dibenarkan untuk dibuka semula di bawah sekatan pergerakan bagi mengekang penyebaran Covid-19.

Pengendali yang melanggar arahan dengan beroperasi akan mendapat kompaun maksimum RM50,000, tambah Takiyuddin.

Beliau berkata, kesalahan ini termasuk dalam kategori pertama dari tiga kategori kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Kategori pertama merujuk kepada kesalahan yang membawa risiko tinggi penularan virus dan memberi kesan besar kepada masyarakat.

Secara keseluruhan, tujuh kesalahan disenaraikan dalam kategori pertama, kata Takiyuddin.

Antaranya ialah kegagalan doktor swasta untuk melaporkan sebarang kes penyakit berjangkit kepada Kementerian Kesihatan.

Takiyuddin berkata kesalahan ini akan dikenakan kompaun RM5,000 walaupun denda maksimum bagi individu adalah RM10,000.

Takiyuddin bercakap tentang perkara ini selepas mesyuarat kabinet, dalam sidang media bersama dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.

Beliau berkata senarai penuh kesalahan di bawah ketiga-tiga kategori itu akan menjadi dokumen awam yang akan tersedia untuk dilihat, namun tidak menyatakan di mana atau bila.

Kompaun RM10,000 untuk pelanggaran SOP Covid-19 dinaikkan dari RM1,000 berkuat kuasa 11 Mac, menimbulkan kritikan meluas kerana terlalu keras, terutama jika yang melanggar itu sudah berumur, miskin atau tidak berpendidikan.

Takiyuddin hari ini juga berkata jumlah denda itu hanyalah syarat maksimum dalam undang-undang dan potongan dapat diberikan jika seseorang itu menyelesaikan denda mereka awal. – 17 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen