Ada diskaun kompaun RM10,000 jika bayar awal, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Walau bagaimanapun, tiada potongan akan diberikan sekiranya denda dibayar setelah 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan, katanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2021.

POTONGAN kompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 akan diberikan kepada mereka yang menyelesaikan denda dalam tempoh 14 hari, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan hari ini.

Mereka yang membayar denda dalam masa tujuh hari akan diberi diskaun 50%, sementara mereka yang menyelesaikan pembayaran antara hari kelapan dan ke-14 akan mendapat potongan 25%.

Walau bagaimanapun, tiada potongan akan diberikan sekiranya denda dibayar setelah 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan.

Pengumumannya itu dibuat ketika rakyat Malaysia kecoh kerana kerajaan menaikkan denda kepada RM10,000 daripada RM1,000 melalui ordinan darurat yang tidak dibincangkan di Parlimen. Jumlah baharu ini berkuat kuasa pada 11 Mac.

Takiyuddin berkata, Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) menetapkan RM10,000 adalah denda maksimum bagi seseorang individu manakala RM50,000 adalah maksimum bagi syarikat.

“Ada salah faham, apa yang tertulis pada surat saman, seseorang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000,” katanya dalam sidang media bersama dengan Menteri Kesihatan Adham Baba hari ini.

“Pada waktu itu tidak ada panduan yang jelas seperti yang kita ada sekarang. Itu tak bermakna mereka yang dikompaun akan dikenakan denda RM10,000. Cuma jumlah kompaun maksimum adalah RM10,000,” tambahnya.

Namun, katanya, mereka yang sebelum ini dikompaun boleh menerima potongan jika membayar denda dalam masa dua minggu.

“Mulai hari ini, mereka yang telah dikompaun, jika mereka dapat bayar dalam seminggu, mereka dapat 50% dan dalam 14 hari mereka dapat 25%,” katanya.

Sebagai contoh, Takiyuddin berkata mereka yang dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka di khalayak ramai boleh mendapat diskaun 50%, yang akan menjadikan jumlah perlu dibayar kepada RM750.

Tambah Takiyuddin, mereka yang tidak mampu membayar denda, mereka yang menderita penyakit kronik, pelajar atau orang miskin boleh membuat membuat rayuan kompaun itu melalui saluran berkaitan.

Rayuan tersebut dapat diajukan kepada pegawai kesihatan daerah, menurut Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Terdapat tiga kategori kesalahan di bawah Akta.

Kategori pertama merujuk kepada kesalahan yang membawa risiko tinggi penularan virus dan memberi kesan besar kepada masyarakat.

Kategori kedua merangkumi kesalahan yang mempunyai risiko penularan yang tinggi tetapi tidak memberi kesan besar kepada masyarakat.

Kategori ketiga merujuk kepada kesalahan yang mempunyai risiko penularan yang rendah dan tidak memberi kesan langsung kepada individu.

Kategori ketiga itu termasuklah tidak memakai pelitup muka, tidak mendaftar masuk di premis dengan aplikasi My Sejahtera atau dalam buku rekod, dan kegagalan untuk menjaga penjarakan sosial.

Takiyuddin berkata, kerajaan telah menetapkan jumlah denda untuk pelanggar pertama kali kesalahan ini pada RM1,500.

Ini diputuskan oleh Kabinet dalam mesyuaratnya awal hari ini, tambahnya.

Mereka yang merayu kompaun juga harus mengemukakan bukti yang didokumentasikan kepada pegawai kesihatan negeri dan daerah.

Penguatkuasaan SOP Covid-19 akan dilakukan oleh pasukan penguatkuasaan pelbagai agensi.

Pegawai itu perlu memberi amaran terlebih dahulu dan mengeluarkan kompaun hanya sebagai jalan terakhir sekiranya pesalah gagal mematuhi, kata Takiyudin.

“Ada banyak pihak yang cuba menimbulkan kekeliruan bahawa undang-undang ini dimaksudkan untuk menghukum. Saya minta orang-orang itu berhati-hati ketika memberi komen kerana ini adalah peraturan yang dibuat berdasarkan undang-undang,” katanya. – 17 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen