Xavier keluar PKR kerana yakin dengan Perikatan, kata Hamzah 


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin percaya Xavier Jayakumar membuat keputusan itu kerana yakin dengan kerajaan Perikatan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2021.

KEPUTUSAN Xavier Jayakumar untuk meninggalkan PKR dan menjadi ahli Parlimen bebas mesra kerajaan adalah manifestasi keyakinan terhadap kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Hamzah Zainudin.

Setiausaha agung Bersatu berkata Xavier mungkin membuat keputusan berdasarkan kemampuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membantu rakyat, terutamanya ketika berdepan pandemik Covid-19.

“Parti Perikatan Nasional mengalu-alukan pengisytiharan terbuka Ahli Parlimen Kuala Langat yang juga mantan naib presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar untuk menjadi ahli Parlimen Bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

“Memandangkan beliau adalah seorang ahli Parlimen yang berpengalaman luas, Parti Perikatan Nasional percaya bahawa keputusan itu telah dibuat bagi mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” kata Hamzah dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Xavier yang merupakan bekas naib presiden PKR mengumumkan keluar parti dan menyatakan beliau sangat kecewa dengan peristiwa yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau meluahkan rasa tidak senangnya dengan perkembangan parti ketika ini yang sedang membincangkan kemungkinan pilihan raya ketika keutamaan harus diberikan untuk membantu kerajaan memerangi wabak Covid-19.

Xavier adalah ahli Parlimen ketiga yang meninggalkan PKR dalam beberapa minggu lalu selepas Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Chong.

Setakat ini, empat belas ahli Parlimen PKR keluar parti sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan tahun lalu. – 14 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen