Xavier Jayakumar keluar PKR


Xavier Jayakumar mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi ahli Parlimen bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2021.

XAVIER Jayakumar mengumumkan keluar daripada PKR, berkuat kuasa serta-merta untuk menjadi ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas naib presiden PKR itu berkata, beliau sangat kecewa dengan peristiwa yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau meluahkan rasa tidak senangnya dengan perkembangan parti ketika ini yang sedang membincangkan kemungkinan pilihan raya ketika keutamaan harus diberikan untuk membantu kerajaan memerangi wabak Covid-19.

Keputusannya itu selepas penahanan Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran berhubung tuduhan rasuah bulan lalu.

Laporan media awal mengaitkan Tingaran sebagai pembantu Xavier tetapi ahli Parlimen Kuala Langat itu menafikan beliau pegawai khasnya ketika bertugas sebagai menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan.

“Dalam laporan media baru-baru ini, nama saya terbabit, dan itu menimbulkan prasangka terhadap saya sebagai wakil rakyat.

“Atas nasihat keluarga dan rakan, saya di sini untuk membersihkan nama saya dengan pihak berkuasa. Pemimpin yang berkait dengan rasuah mesti bertanggungjawab memelihara integriti institusi kita dan bertanggungjawab untuk menunjukkan pemerintahan yang baik.

“Keputusan besar yang dibuat oleh kementerian mesti dipersetujui secara kolektif dalam Kabinet. Saya juga berharap agar orang ramai menunjukkan rasa hormat kepada pihak berkuasa dalam mengendalikan siasatan.

“MA Tinagaran bukan pembantu saya seperti dilaporkan, tetapi rakan keluarga terdekat,” katanya.

Bekas menteri itu berkata ada pihak yang membincangkan kemungkinan pilihan raya awal, ini tidak perlu atau boleh dilaksanakan pada saat ini.

“Keutamaan kita saat ini adalah menyokong kerajaan dalam mengekang pandemik Covid-19 untuk mewudjukan pekerjaan dan mendapatkan dana membangunkan kembali ekonomi.

“Perlu sekurang-kurangnya 18 bulan hanya untuk menyelesaikan program vaksinasi dan lebih dua tahun agar ekonomi pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan itu.

Xavier berkata, kerajaan PN memerlukan sokongan bipartisan untuk memastikan usaha ini dapat direalisasikan.

“Rakyat mahukan kestabilan dan memulakan semula sektor ekonomi kita yang terjejas. Untuk itu, kita perlu bekerjasama, bukan berlawan satu sama lain,” katanya.

Xavier adalah ahli Parlimen ketiga yang meninggalkan PKR dalam beberapa minggu lalu selepas Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Chong. – 13 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen